ICE usir 200,000 pendatang sejak Trump kembali ke Rumah Putih - Utusan Malaysia

ICE usir 200,000 pendatang sejak Trump kembali ke Rumah Putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) mengusir hampir 200,000 pendatang dalam tempoh tujuh bulan pertama pentadbiran Presiden Donald Trump, menurut seorang pegawai kanan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

Angka itu meletakkan agensi persekutuan berkenaan di landasan untuk mencatat kadar pengusiran tertinggi dalam sekurang-kurangnya 10 tahun, meskipun masih belum mencapai sasaran rasmi pentadbiran.

Secara keseluruhan, pentadbiran Trump merekodkan hampir 350,000 pengusiran sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu. Angka itu merangkumi tindakan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), Pengawal Pantai, serta kes pendatang yang memilih untuk pulang sendiri.

Sebelum Trump mengambil alih, ICE merekodkan sekitar 71,400 pengusiran antara Oktober hingga Disember 2024. Jika trend ini berterusan, jumlah pengusiran sepanjang tahun fiskal 2025 yang berakhir pada 30 September dijangka melebihi 300,000 kes.

Kali terakhir angka setinggi itu dicatatkan adalah pada tahun fiskal 2014 di bawah Presiden Barack Obama, dengan 316,000 pengusiran.

Trump mengerahkan pelbagai agensi persekutuan untuk memperkukuh operasi penguatkuasaan imigresen di seluruh negara, khususnya di bandar utama seperti Los Angeles dan Washington.

CBP, yang bertanggungjawab terhadap kawalan sempadan, merekodkan lebih 132,000 pengusiran tahun ini, manakala sekitar 17,500 pendatang dikesan memilih untuk pulang secara sukarela.

Jika digabungkan dengan tindakan ICE, jumlah keseluruhan pengusiran mencecah hampir 350,000 dalam tujuh bulan pertama penggal kedua Trump.

“Walaupun berdepan jumlah injunksi bersejarah daripada hakim aktivis, ICE, CBP dan Pengawal Pantai AS telah mencatat kemajuan bersejarah dalam melaksanakan janji Trump untuk menangkap dan mengusir pendatang tanpa izin yang menceroboh negara kita.

“Selain itu, pendatang tanpa izin kini sedar mesej kami iaitu tinggalkan negara ini sekarang atau berdepan akibatnya,” kata pegawai kanan DHS dalam satu kenyataan.

Namun, di sebalik angka itu, pegawai kanan pentadbiran Trump secara peribadi mengakui masih kecewa kerana kadar tangkapan imigresen masih di bawah sasaran. Walaupun jumlahnya hampir dua kali ganda berbanding era Biden, tangkapan dalam negara berlegar antara 1,000 hingga 2,000 sehari, masih jauh dari sasaran Rumah Putih iaitu 3,000 sehari, menurut data dalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN