'IAEA akan lawat Iran, tapi tidak akan periksa tapak nuklear' - Utusan Malaysia

‘IAEA akan lawat Iran, tapi tidak akan periksa tapak nuklear’

ABBAS ARAGHCHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Seorang pegawai tinggi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dijadualkan mengadakan lawatan ke Iran pada Isnin bagi membincangkan semula kerangka kerjasama nuklear antara kedua-dua pihak.

Namun, menurut kenyataan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, lawatan tersebut tidak akan melibatkan sebarang pemeriksaan ke atas fasiliti nuklear negara itu.

Lawatan ini merupakan yang pertama sejak konflik bersenjata selama 12 hari antara Iran dan Israel pada Jun lalu, yang menyaksikan beberapa tapak nuklear utama Iran diserang.

Iran menyalahkan IAEA atas serangan tersebut, dengan mendakwa laporan agensi itu pada 31 Mei telah “membuka jalan” kepada tindakan ketenteraan. Laporan tersebut mendakwa Iran telah melanggar komitmen di bawah Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT).

Akibatnya, Iran menggantung kerjasama rasmi dengan IAEA selepas Presiden Masoud Pezeshkian menandatangani undang-undang yang menetapkan sebarang pemeriksaan masa depan hanya boleh dijalankan selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.

“Selagi tiada kerangka baharu dimuktamadkan, tiada bentuk kerjasama akan diteruskan,” jelas Araghchi melalui saluran Telegram rasminya.

Pegawai yang akan mengadakan lawatan ialah Timbalan Ketua Pengarah IAEA, mewakili Ketua Pengarah Rafael Grossi. Rundingan dijangka tertumpu kepada penetapan semula kerjasama teknikal, yang terbantut sejak ketegangan terbaru antara Teheran dan agensi pemantau nuklear itu.

Walaupun IAEA dan agensi risikan Amerika Syarikat sebelum ini menyatakan Iran tidak memiliki program senjata nuklear yang tersusun sejak 2003, peningkatan tahap pengayaan uranium oleh Iran hingga 60 peratus terus menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

Tahap ini hanya beberapa langkah daripada 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan senjata nuklear.

Iran, bagaimanapun, menegaskan program nuklearnya adalah bertujuan aman dan kekal komited kepada prinsip NPT, walaupun pemerhati antarabangsa menyuarakan kebimbangan berterusan mengenai ketelusan dan akses kepada tapak nuklear selepas siri serangan udara oleh AS dan Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN