GAZA: Hamas mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana didakwa menyampaikan ‘siri’ pembohongan ketika sidang media pada Ahad yang membentangkan visinya untuk kemenangan di Gaza.
“Netanyahu terus berbohong, memperdaya dan cuba mengelirukan orang ramai. Segala yang dikatakan Netanyahu dalam sidang media itu adalah siri pembohongan, dan beliau tidak mampu berdepan dengan kebenaran sebaliknya beliau bertindak memutar belit dan menyembunyikannya,” kata Penasihat Media kepada Ketua Biro Politik Hamas, Taher Al-Nunu kepada AFP.
Menerusi sidang media semalam, Netanyahu menolak dakwaan Israel sengaja menyebabkan kebuluran di Gaza, menuduh Hamas dan media antarabangsa menyebarkan kempen global pembohongan.
Beliau turut mendakwa fakta yang dikemukakan dalam sidang media itu boleh disahkan dengan mudah.
Menurut Netanyahu, sekitar dua juta penduduk Gaza kini mendapat akses kepada bantuan kemanusiaan dan satu-satunya pihak yang sengaja dibiarkan kebuluran di Gaza ialah tebusan-tebusan Israel.
Beliau membandingkan gambaran negatif terhadap Gaza dengan sejarah fitnah terhadap masyarakat Yahudi pada Zaman Pertengahan yang sering diikuti dengan pembunuhan beramai-ramai, pengusiran dan kemuncaknya Holocaust.
“Hari ini, negara Yahudi sedang difitnah dengan cara yang sama,” katanya.
Netanyahu turut menuduh media antarabangsa menelan bulat-bulat propaganda Hamas, termasuk penyebaran imej tiga kanak-kanak yang kelihatan kekurangan zat makanan, yang didakwanya sebagai gambar ‘palsu’ kerana keadaan kesihatan sedia ada sebelum ini. -AGENSI










