PBB Beri Amaran: Serangan Israel di Gaza Tanda Fasa Baharu yang Berbahaya
HAMILTON (Kanada): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengeluarkan amaran keras terhadap tindakan ketenteraan Israel untuk menguasai Gaza City, sambil menekankan krisis kemanusiaan di wilayah itu berada di tahap yang amat membimbangkan.
“Langkah awal Israel untuk mengambil alih Gaza City secara ketenteraan menandakan satu fasa baharu yang berbahaya,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PBB, New York.
Beliau memberi amaran peluasan operasi ketenteraan akan membawa kesan buruk yang sangat besar.
Menurut Guterres, ratusan ribu penduduk awam yang sudah keletihan dan trauma kini berisiko dipaksa melarikan diri sekali lagi, meletakkan mereka dalam bahaya yang lebih besar.
Guterres turut mengecam serangan terbaharu Israel, termasuk serangan di Hospital Nasser, Khan Younis, awal minggu ini.
“Serangan demi serangan berlaku, membunuh orang awam termasuk petugas perubatan dan wartawan yang menjalankan tugas penting mereka.
“Serangan ini adalah sebahagian daripada rangkaian keganasan yang tiada penghujungnya. Keadilan dan akauntabiliti mesti ditegakkan,” katanya.
Beliau berkata, situasi kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap paling kritikal dalam sejarah terkini.
“Kematian dan kemusnahan yang berlaku tiada bandingan. Kebuluran bukan lagi sekadar kemungkinan ia adalah kenyataan.
Orang ramai mati kelaparan, keluarga terpisah akibat perpindahan dan keputusasaan, manakala wanita hamil berdepan risiko yang tidak dapat dibayangkan,” katanya.
Menurutnya, sistem asas yang menyokong kehidupan termasuk makanan, air dan penjagaan kesihatan dilumpuhkan secara sistematik.
Guterres menggambarkan Gaza sebagai wilayah yang “bertimbun dengan runtuhan, mayat, dan bukti kemungkinan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.”
Sebagai kuasa pendudukan, Israel, katanya, bertanggungjawab memastikan bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan keperluan asas lain disediakan kepada penduduk, selain memudahkan akses kemanusiaan yang lebih besar.
“Israel mesti melindungi orang awam dan infrastruktur awam, serta menghentikan kemusnahan terhadap kemudahan penting untuk kelangsungan hidup penduduk,” tegasnya.
Guterres turut merujuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan Israel membenarkan bantuan kemanusiaan dan perubatan dihantar tanpa halangan ke seluruh Gaza.
“Namun, hari demi hari, usaha kami terus dihalang, ditangguh dan dinafikan. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Tebing Barat, dengan peningkatan operasi ketenteraan, keganasan oleh peneroka, perobohan rumah, serta dasar diskriminasi yang semakin menambah jumlah penduduk yang terpaksa berpindah dan semakin terdedah kepada risiko.
Merujuk kelulusan pelan pembinaan ribuan unit penempatan di kawasan E1, Guterres memberi amaran bahawa ia berisiko memisahkan bahagian utara dan selatan Tebing Barat.
Beliau menegaskan semula pendirian PBB penempatan Israel di Tebing Barat yyelesaian dua negara.ang diduduki serta di Baitulmuqaddis Timur adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa.










