ISTANBUL: Gabungan Kebebasan Media, yang dianggotai 26 negara termasuk Australia, Jerman, Jepun, United Kingdom serta beberapa negara Kesatuan Eropah (EU), menggesa Israel pada Khamis agar segera membenarkan wartawan asing yang bebas memasuki Gaza.
Desakan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing dan tekanan terhadap kebebasan media, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan bersama, gabungan itu menuntut agar Israel membuka akses kepada media antarabangsa dan memastikan keselamatan wartawan yang sedang beroperasi di wilayah bergolak itu.
“Wartawan memainkan peranan penting dalam merekodkan perkembangan konflik. Akses ke zon konflik amat penting bagi mereka menjalankan tugas dengan berkesan,” kata kenyataan itu.
Gabungan tersebut turut mengecam keganasan yang menyasarkan wartawan, sambil menekankan kadar kematian, penahanan dan penangkapan wartawan yang tinggi sejak perang bermula.
“Menyasarkan wartawan secara sengaja adalah tindakan yang tidak boleh diterima. Wartawan awam dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa ketika konflik bersenjata,” tegas mereka.
Mereka turut mendesak pihak berkuasa Israel dan semua pihak terlibat agar memastikan wartawan, sama ada tempatan mahupun asing, di Gaza, Israel, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dapat bekerja dengan bebas dan selamat.
Seruan turut dibuat siasatan dijalankan terhadap serangan ke atas petugas media dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang domestik dan antarabangsa.
Selain isu kebebasan media, kenyataan itu turut mengulangi gesaan kepada semua pihak untuk melaksanakan gencatan senjata segera, membebaskan semua tebusan tanpa syarat, serta memberikan akses kemanusiaan tanpa had ke Gaza.
Gabungan negara itu juga menegaskan sokongan terhadap penyelesaian dua negara sebagai langkah ke arah keamanan dan keselamatan jangka panjang di rantau berkenaan.
Sejak Oktober 2023, hampir 62,200 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel yang telah menghancurkan sebahagian besar wilayah Gaza dan mendorong krisis kebuluran.










