Dunia kecam pelan penempatan baharu Israel di Tebing Barat

Dunia kecam pelan penempatan baharu Israel di Tebing Barat

BEZALEL Smotrich menunjukkan peta projek penempatan E1 ketika menghadiri sidang media di Ma’ale Adumim, Tebing Barat kelmarin. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Negara-negara Eropah, wilayah Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bersama kumpulan hak asasi Israel mengecam rancangan pentadbiran Netanyahu mahu meluluskan pembinaan ribuan rumah di kawasan pertikaian di Tebing Barat.

Kelmarin, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mengumumkan beliau bercadang meluluskan tender pembinaan lebih 4,000 unit perumahan dalam projek penempatan kontroversi E1 di antara Baitulmuqaddis dan Ma’ale Adumim, rancangan yang menurutnya akan ‘menguburkan’ idea penubuhan negara Palestin.

Skim pembinaan ini dijadual menerima kelulusan muktamad Majlis Perancangan Tinggi kerajaan Israel pada 20 Ogos ini.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menggesa Israel segera membatalkan keputusan tersebut.

“Ia akan menamatkan prospek penyelesaian dua negara. Penempatan ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hanya mengukuhkan lagi pendudukan,” katanya.

Kesatuan Eropah (EU) turut senada dengan Ketua Dasar Luar, Kaja Kallas, menegaskan keputusan pihak berkuasa Israel untuk meneruskan pelan penempatan E1 semakin melemahkan usaha damai sementara Menteri Luar Britain, David Lammy menuntut ia dihentikan serta-merta.

“UK menentang keras pelan penempatan E1 oleh kerajaan Israel, yang akan memisahkan masa depan negara Palestin kepada dua bahagian dan menjadi satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa. Pelan ini mesti dihentikan sekarang,” kata Lammy dalam satu kenyataan emel.

Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide pula berkata, langkah itu membuktikan Israel sememangnya berhasrat mengambil tanah milik Palestin bagi menghalang penyelesaian dua negara.

Mesir menentang keras pelan tersebut, dengan Kementerian Luar Negeri Kaherah mengecam kenyataan ekstremis Smotrich yang disifatkan sebagai petunjuk baharu terhadap penyelewengan dan keangkuhan Israel.

Sementara itu, pegawai Kementerian Luar Palestin, Ahmad al-Deek, menyifatkan pelan itu bersifat kolonial, perluasan wilayah dan rasis, yang jelas menterjemahkan agenda kerajaan ekstremis pimpinan Netanyahu.

“Ia bertujuan melemahkan sebarang kemungkinan penubuhan negara Palestin di lapangan, memecah-belah Tebing Barat serta memisahkan bahagian selatan daripada pusat dan utara wilayah itu,” katanya kepada Associated Press.

Kumpulan pemantau penempatan, Peace Now turut memberi amaran pembinaan di E1 berbahaya kepada masa depan Israel dan peluang mencapai penyelesaian damai dua negara.

Kumpulan kiri Breaking the Silence, yang diasaskan oleh bekas askar Pasukan Pertahanan Israel, menuduh Smotrich sengaja menggalakkan aktiviti penempatan di Tebing Barat ketika perang di Gaza terus menjadi tumpuan dunia.

“Perampasan tanah dan peluasan penempatan ini bukan sahaja akan memecah-belah lagi wilayah Palestin, malah akan mengukuhkan sistem apartheid,” kata kumpulan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×