KAHERAH: Mesir giat melatih ratusan rakyat Palestin untuk menggalas peranan keselamatan di Gaza sebaik sahaja perang antara Israel dan Hamas berakhir.
Perkara itu disahkan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty dalam satu temu bual bersama saluran berita Arab Saudi, Al Arabiya pada Rabu.
Dalam petikan temu bual yang belum disiarkan sepenuhnya itu, Badr menyatakan Mesir memiliki pelan yang jelas mengenai susunan keselamatan dan pentadbiran di Gaza selepas tamatnya konflik, dan sedang melatih pengendali Palestin yang akan dihantar ke Gaza untuk mengurus hal ehwal keselamatan di wilayah itu.
Pelan keselamatan dan masa depan Gaza itu pertama kali dibentangkan oleh Mesir pada Mac lalu, dan Badr sejak itu beberapa kali mengulangi komitmen untuk melaksanakannya.
Kenyataan beliau Rabu lalu menunjukkan Mesir tetap melangkah ke hadapan dengan pelan tersebut meskipun perang masih berlarutan dan belum ada kata putus mengenai siapa yang akan mentadbir Gaza selepas konflik berakhir.
“Mesir sedang melatih ratusan rakyat Palestin untuk memikul tanggungjawab keselamatan di Gaza,” katanya dalam temu bual berkenaan.
Terdahulu pada April, dalam ucapan di Forum Diplomasi Antalya di Turkiye, Badr mendedahkan, Mesir sudah mula merekrut pegawai keselamatan Palestin untuk dilatih dan kemudiannya ditugaskan memelihara keselamatan di Gaza.
“Kami memperkasakan pasukan polis Palestin, menyediakan latihan serta merekrut anggota baharu bagi ditempatkan di Gaza untuk menjaga undang-undang, ketenteraman dan keselamatan.
“Sudah tentu kami juga bersedia untuk penempatan pasukan antarabangsa, sama ada pasukan perlindungan, pengaman atau apa jua istilahnya bagi menjamin keselamatan dan perlindungan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Program latihan Mesir itu merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan Gaza bernilai AS$53 bilion (RM225 bilion) yang dibentangkan Kaherah pada Mac lalu dan sudah diterima pakai oleh
Liga Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara.
Pelan itu dilaksanakan sebagai tindak balas segera terhadap pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyatakan hasrat untuk ‘mengambil alih’ Gaza dan memindahkan penduduk Palestin.
Cadangan Trump itu mendapat kecaman meluas masyarakat antarabangsa, negara-negara Arab, malah daripada kedua-dua parti utama di AS sendiri.
Mahu Gaza dibawah PA
Selepas menyebut tentang cadangan itu, beliau tidak memberi tumpuan kepadanya atau melaksanakan apa-apa tindakan ke arah itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini
Namun, beberapa pemimpin sayap kanan Israel menyambut baik pelan tersebut dan menjadikannya sebagai pelan tindakan bagi penempatan semula Israel di Gaza.
Malah, satu persidangan mengenai rancangan untuk ‘merampas’ wilayah itu diadakan minggu lalu, diketuai oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, yang turut menyuarakan impian merealisasikan ‘Riviera Gaza’.
Isnin lalu, Kabinet Israel dilaporkan mengadakan mesyuarat di mana beberapa menteri membincangkan kemungkinan Israel menduduki dan kembali menakluk sebahagian Gaza, susulan kegagalan rundingan gencatan senjata di Qatar dan usaha membebaskan sebahagian daripada kira-kira 50 tebusan yang masih ditahan Hamas.
Cadangan Israel itu bertentangan dengan visi Mesir dan Liga Arab, yang menyokong agar Pihak Berkuasa Palestin (PA) berpusat di Tebing Barat mentadbir Gaza pasca perang sebagai langkah ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Liga Arab sekali lagi mengulangi pendirian itu dalam satu deklarasi pada Selasa di sebuah persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membincangkan penyelesaian dua negara.
“Dalam konteks menamatkan perang di Gaza, Hamas mesti menghentikan pentadbirannya di Gaza dan menyerahkan senjata kepada PA, dengan penglibatan dan sokongan antarabangsa, selaras dengan matlamat penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” jelas deklarasi tersebut.
Dokumen itu juga mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang, dan pada masa yang sama mengutuk tindakan Israel.
“Kami turut mengecam serangan oleh Israel terhadap orang awam di Gaza dan infrastruktur awam, serta sekatan dan kebuluran yang mengakibatkan malapetaka kemanusiaan dan krisis perlindungan yang dahsyat,” katanya.
Tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan laporan meluas mengenai kebuluran yang berlaku di Gaza.
Beberapa negara Eropah memberi amaran mereka akan mengambil tindakan terhadap Israel.
Perancis menegaskan akan mengiktiraf negara Palestin, diikuti United Kingdom(UK) yang menyatakan akan mengambil langkah serupa jika Israel tidak menamatkan perang dan berusaha ke arah pendamaian bersama rakyat Palestin.
Israel pula menolak idea penubuhan negara Palestin, dengan alasan ia akan menjadi ganjaran kepada Hamas susulan serangan 7 Oktober, dan menegaskan pengiktirafan itu hanya akan menjauhkan lagi kemungkinan usaha keamanan antara kedua-dua pihak.
Dalam petikan temu bualnya, Badr berkata, Mesir masih komited untuk mencapai gencatan senjata dan sedang menjalankan perbincangan harian bersama Qatar serta AS.
Beliau turut menuduh Israel menggunakan makanan sebagai senjata, dan menyifatkan kebuluran di Gaza sebagai sesuatu yang melebihi batas imaginasi. – AGENSI










