Duduki Gaza ‘cara terbaik’ akhiri perang - Netanyahu

Duduki Gaza ‘cara terbaik’ akhiri perang – Netanyahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi kenyataan ‘memualkan’ apabila menyatakan Israel bukannya mahu menguasai Gaza tetapi, operasi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi adalah ‘kaedah terbaik’ untuk mengakhiri perang yang berlarutan sejak Oktober 2023.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Netanyahu beliau percaya kumpulan pejuang Hamas hanya akan dapat dikalahkan selepas Israel mengawal sepenuhnya Semenanjung Gaza, bahkan percaya kesemua 20 tebusan yang masih ditahan dapat dibebaskan.

“Kami tidak mahu kekal di Gaza, itu bukan matlamat kami,” katanya.

Beliau juga memberitahu Israel sudah mengenal pasti beberapa calon bagi membentuk ‘pihak berkuasa peralihan’ yang akan mentadbir Gaza selepas konflik tamat.

Netanyahu memaklumkan pelucutan senjata Hamas akan menjadi syarat utama dalam sebarang pelan masa depan.

“Ada beberapa calon yang sedang kami bincangkan. Tapi tiada siapa akan masuk ke sana selagi Hamas belum ditewaskan dan beberapa beberapa negara Arab juga bersetuju dengan keperluan melucutkan senjata Hamas,” katanya.

Menjawab kritikan antarabangsa terhadap Israel, Netanyahu menyatakan sekutu Israel setniasa memberikan sokongan kepada negara haram itu sehinggalah semuanya ‘tiba-tiba’ memberi tekanan kepadanya supaya menghentikan perang.

Beliau memberi contoh, Canselor Jerman, Friedrich Merz, sebelum ini sudah lama menjadi ‘rakan baik Israel’ tetapi menyifatkan rakan sejawatannya itu sudah mengalah akibat tekanan pelbagai pihak.

“Mungkin sesetengah pemimpin dunia memilih untuk lupakan 7 Oktober. Kami tidak akan lupa.

“Kami akan lakukan apa sahaja untuk pertahankan negara kami, rakyat kami, dan masa depan kami. Kami akan menang perang ini, dengan atau tanpa sokongan orang lain,” katanya.

Beliau mendakwa ramai pemimpin, terutama dari Eropah, secara peribadi menyokong Israel tetapi tidak berani menyuarakannya kerana tekanan awam.

Apabila ditanya tentang gelombang terbaru pengiktirafan negara Palestin oleh sekutu Barat Israel, Netanyahu menegaskan langkah itu ibarat ‘memberi ganjaran kepada keganasan’.

“Orang Palestin bukan tentang membina sebuah negara, mereka tentang menghancurkan sebuah negara,” katanya.

Netanyahu menyelar andaian antarabangsa bahawa kewujudan negara Palestin akan menyelesaikan konflik.

Katanya, orang Palestin sudah ditawarkan pengiktirafan negara berkali-kali termasuk dalam resolusi pembahagian tetapi mereka tolak.

“Sukar dibayangkan bagai­mana orang-orang cerdik pandai di seluruh dunia, termasuk diplomat berpengalaman, pemimpin negara, dan wartawan terhormat boleh termakan propaganda ini.”

Beliau menambah Hamas mempunyai negara de facto di Gaza dan menggunakannya untuk melancarkan perang keganasan terhadap Israel dan akan terus melakukannya jika dibiarkan.

Netanyahu berkata rakyat Palestin sepatutnya mempunyai semua kuasa untuk memerintah sendiri di kawasan mereka, dan tiada kuasa untuk mengancam Israel.

“Jika mereka mahu tinggal di sini, di sebelah kami, mereka mesti berhenti mahu menghancurkan kami,” katanya.

Beliau menegaskan majoriti rakyat Israel dan sebahagian besar ahli Knesset menolak penubuhan negara Palestin, kerana mereka tahu ia tidak akan membawa keamanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×