WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata, beliau akan berusaha mengadakan mesyuarat tiga hala bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Presiden Russia, Vladimir Putin sejurus selepas sidang kemuncak di Alaska yang bertujuan menamatkan perang tiga tahun di Ukraine.
Trump berkata demikian selepas panggilan telefon yang disifatkannya sebagai sangat baik dengan pemimpin-pemimpin Eropah, termasuk Zelensky meskipun ketika itu tentera Russia membuat kemaraan terbesar ke wilayah Ukraine dalam tempoh lebih setahun.
“Jika mesyuarat pertama berjalan lancar, kita akan adakan mesyuarat kedua dengan segera,” kata Trump kepada wartawan ketika ditanya mengenai pertemuan bersemuka di Anchorage, Alaska bersama Putin yang dijadual pada Jumaat.
“Saya mahu mengadakannya secepat mungkin, dan kita akan mengatur mesyuarat kedua bersama Putin, Zelensky dan saya sendiri, jika mereka mahu saya berada di sana,” tambahnya.
Sidang kemuncak berisiko tinggi ini berlangsung ketika Trump berdepan cabaran untuk menjadi perantara damai, sementara Zelensky dan sekutu Eropah sebelum ini menggesa beliau mendesak gencatan senjata.
Peningkatan serangan Russia serta ketiadaan jemputan kepada Zelensky ke Anchorage menimbulkan kebimbangan bahawa Trump dan Putin mungkin mencapai persetujuan yang memaksa Ukraine membuat pengorbanan besar.
Trump, yang berulang kali berjanji semasa kempen pilihan raya 2024 untuk menamatkan konflik pada hari pertama beliau memegang jawatan, masih belum menunjukkan kemajuan besar ke arah perjanjian damai.
Beliau pernah mengancam untuk mengenakan sekatan sekunder ke atas rakan dagang Russia berhubung pencerobohan ke Ukraine, namun tarikh akhir tindakan itu minggu lalu berlalu tanpa sebarang pengumuman.
Trump turut memberi amaran bahawa mesyuarat susulan akan dibatalkan sekiranya beliau merasakan Putin bertindak tidak jujur.
“Mungkin tiada mesyuarat kedua kerana jika saya rasa ia tidak sesuai diadakan disebabkan saya tidak mendapat jawapan yang diperlukan, maka kita tidak akan adakan mesyuarat kedua,” katanya.
Menurut analisis AFP terhadap data medan pertempuran daripada Institute for the Study of War yang berpangkalan di AS, tentera Russia pada Selasa membuat kemaraan terbesar dalam tempoh 24 jam ke Ukraine sejak lebih setahun lalu.
Ketika perang terus memuncak di timur Ukraine, Zelensky terbang ke Berlin dan bersama Canselor Friedrich Merz menyertai panggilan dalam talian dengan pemimpin Eropah lain, ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah berbincang dengan Trump dan menggesa pakatan menentang Russia. -AGENSI









