BRASILIA: Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dikenakan tahanan rumah oleh Mahkamah Agung negara itu pada Isnin selepas didapati melanggar perintah kehakiman semasa perbicaraan berkaitan dakwaan cubaan rampasan kuasa.
Perintah tahanan rumah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Alexandre de Moraes yang menyatakan Bolsonaro melanggar larangan komunikasi dengan menggunakan saluran media sosial anak-anaknya untuk menyebarkan kandungan menghasut terhadap institusi kehakiman.
Sebagai tambahan, beliau dilarang menerima kunjungan kecuali daripada peguam atau ahli keluarga yang mendapat kelulusan mahkamah.
Pihak polis persekutuan turut merampas semua telefon bimbit di kediaman beliau. Bolsonaro juga diwajibkan memakai alat pemantauan elektronik dan tertakluk kepada perintah berkurung.
Bolsonaro kini dibicarakan bagi tuduhan mengetuai organisasi jenayah yang didakwa cuba membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2022.
Dakwaan turut merangkumi perancangan serangan terhadap Presiden Luiz Inácio Lula da Silva dan Hakim Moraes sendiri.
Perbicaraan ini berlangsung selepas insiden rusuhan besar oleh penyokong Bolsonaro di ibu negara Brasilia pada Januari 2023 iaitu kejadian yang disamakan dengan insiden Capitol Hill di Amerika Syarikat.
Ketegangan politik dijangka memuncak berikutan tindakan ini, lebih-lebih lagi dengan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, yang secara terbuka menyokong Bolsonaro.
Trump baru-baru ini mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan import dari Brazil dan menyifatkan perbicaraan Bolsonaro sebagai “pemburuan politik”.
Bagaimanapun, tindakan Trump dilihat oleh penganalisis sebagai langkah yang mungkin melemahkan sokongan terhadap Bolsonaro di dalam negara dan sebaliknya mengukuhkan kedudukan pentadbiran Presiden Lula.
Bolsonaro kini berdepan larangan bertanding dalam pilihan raya 2026, menjadikan masa depan politiknya semakin tidak menentu. Mahkamah dijangka meneruskan perbicaraan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dengan pengawasan ketat terhadap komunikasi dan aktiviti beliau.










