Banjir di Kashmir ragut 56 nyawa, puluhan lagi hilang - Utusan Malaysia

Banjir di Kashmir ragut 56 nyawa, puluhan lagi hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISHTWAR: Sekurang-kurangnya 56 orang maut manakala puluhan lagi masih hilang selepas banjir kilat melanda perkampungan Chisoti di wilayah Kashmir yang ditadbir India.

Bencana ini tercetus akibat fenomena “cloudburst”, iaitu hujan lebat secara mendadak yang menyebabkan aliran deras air dan lumpur turun dari kawasan pergunungan Himalaya.

Aliran ini menghanyutkan kediaman serta kemudahan sementara, termasuk sebuah dapur besar yang menempatkan lebih 100 penganut Hindu yang dalam perjalanan ke kuil Machail Mata.

Ramai mangsa tidak berdaftar dengan pihak berkuasa, menyukarkan operasi menyelamat dan pengecaman mangsa. Seorang penduduk tempatan memaklumkan bahawa beliau melihat sekurang-kurangnya 15 mayat dihantar ke hospital berhampiran.

Setakat ini, lebih 300 orang telah diselamatkan, termasuk 50 yang mengalami kecederaan serius. Namun, usaha menyelamat berdepan cabaran besar akibat kerosakan jalan dan hujan berterusan.

Operasi terpaksa ditangguhkan sementara pada malam Khamis, dan pihak berkuasa memberi amaran bahawa angka korban mungkin terus meningkat.

Ini merupakan insiden banjir besar kedua yang menimpa India bulan ini, selepas tragedi di Uttarakhand yang mengorbankan lebih 70 nyawa.

Pakar iklim mengaitkan kejadian ini dengan perubahan iklim dan pembangunan yang tidak terkawal, yang didakwa meningkatkan kekerapan serta keparahan banjir dan tanah runtuh sepanjang musim monsun.

Jabatan Meteorologi India turut mengeluarkan amaran baharu berhubung hujan lebat dan risiko banjir susulan.

Perdana Menteri Narendra Modi menyatakan komitmen kerajaan untuk menyalurkan “segala bantuan yang diperlukan” kepada mangsa dan keluarga yang terkesan oleh bencana ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN