AS tidak bantah perluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat - Utusan Malaysia

AS tidak bantah perluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat

PENEMPATAN haram Israel Ma’ale Adumim di Tebing Barat yang diduduki di pinggir Baitulmuqaddis. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, menyatakan Washington tidak menentang perluasan besar-besaran penempatan Israel di Tebing Barat dan tidak menganggapnya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Dalam satu wawancara bersama Radio Tentera Israel, Huckabee menegaskan keputusan mengenai pembangunan besar di kawasan E1, yang terletak di Baitulmuqaddis Timur dan bakal mengasingkan Baitulmuqaddis Timur dari persekitarannya serta memutuskan hubungan antara utara dan selatan Tebing Barat terletak sepenuhnya di tangan kerajaan Israel.

“Kami tidak akan cuba menilai sama ada perkara itu baik atau buruk, tetapi secara umum, kami tidak menganggap ia satu pelanggaran undang-undang antarabangsa. Saya juga percaya kita semua harus mengiktiraf orang Israel mempunyai hak untuk hidup di Israel,” kata Huckabee.

Beliau sebelum ini pernah mencadangkan pentadbiran Presiden Donald Trump mungkin mempertimbangkan untuk membenarkan kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menganeksasi Tebing Barat secara rasmi di bawah kedaulatan Israel.

Isu aneksasi Tebing Barat kembali menjadi perhatian selepas kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS baru-baru ini, yang telah mencetuskan semula desakan dalam kalangan pegawai kanan Israel, termasuk Menteri Kewangan sayap kanan, Bezalel Smotrich, dan Netanyahu sendiri.

Kenyataan Huckabee turut mengundang kontroversi besar, terutama kerana ia dibuat serentak dengan pengumuman Smotrich untuk menggiatkan semula projek penempatan di kawasan E1, yang melibatkan pembinaan ribuan unit perumahan baharu bagi penduduk haram Israel.

Kenyataan dari Duta AS itu dijangka akan menambah ketegangan di peringkat antarabangsa, memandangkan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki dianggap haram oleh majoriti negara dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pembangunan di kawasan E1 secara khusus telah berulang kali dikritik kerana mengancam kelangsungan penyelesaian dua negara, yang dilihat sebagai satu-satunya jalan damai jangka panjang dalam konflik Palestin-Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN