AS gantung vaksin Chikungunya, kenal pasti kesan sampingan kepada warga emas

AS gantung vaksin Chikungunya, kenal pasti kesan sampingan kepada warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) menggantung lesen vaksin Ixchiq bagi mencegah virus chikungunya susulan laporan mengenai kesan sampingan serius, menurut pengeluar vaksin tersebut dari Perancis pada Isnin.

Ixchiq merupakan satu daripada dua vaksin yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) bagi virus disebarkan oleh nyamuk itu, yang lazimnya berlaku di kawasan tropika dan subtropika tetapi kini semakin dikesan di pelbagai negara di seluruh dunia.

Syarikat Perancis, Valneva memperoleh kelulusan vaksin tersebut di AS pada 2023, namun laporan kesan sampingan mencetuskan semakan semula terutamanya bagi pengguna warga emas, termasuk oleh Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) tahun ini.

“Penggantungan lesen ini berkuat kuasa serta-merta,” kata Valneva mengenai arahan FDA yang dikeluarkan pada Jumaat, sambil memetik empat kes baharu kesan sampingan serius, tiga daripadanya melibatkan individu berusia 70 hingga 82 tahun.

“Ketika kami menilai langkah seterusnya dan di saat ancaman chikungunya semakin meningkat di seluruh dunia, Valneva kekal komited untuk memastikan akses kepada vaksin kami sebagai alat kesihatan global,” kata Ketua Eksekutif, Thomas Lingelbach dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata, pihaknya sedang menilai kesan kewangan daripada penggantungan ini, namun tidak mengubah unjuran hasil buat masa ini.

Ixchiq mencatatkan jualan sebanyak 7.5 juta euro (AS$36.89 juta) pada separuh pertama tahun ini.

Pengumuman penggantungan itu mencetuskan penjualan besar-besaran saham Valneva di bursa saham Paris, yang jatuh lebih 26 peratus pada sesi pembukaan.

Pakar kesihatan awam memberi amaran, chikungunya berpotensi menjadi ancaman pandemik masa depan apabila perubahan iklim menolak penyebaran nyamuk pembawa virus itu ke kawasan baharu.

Simptom penyakit ini menyerupai demam denggi dan virus Zika, termasuk demam panas dan sakit sendi yang teruk sehingga melemahkan pesakit dengan tempoh yang berbeza-beza.

Chikungunya jarang membawa maut, namun risiko kematian lebih tinggi bagi bayi dan warga emas.

Pada Julai lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai risiko wabak besar chikungunya dan menyeru tindakan segera.

Agensi itu berkata, ia mengesan tanda-tanda awal yang sama seperti ketika wabak besar dua dekad lalu, yang bermula di Lautan Hindi sebelum merebak ke seluruh dunia dan menjejaskan hampir 500,000 orang.

Setakat tahun ini, Eropah mencatatkan 27 wabak chikungunya, satu rekod baharu bagi benua tersebut, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) bulan ini.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN