WASHINGTON: Gabenor Rizab Persekutuan (Fed), Lisa Cook akan memfailkan saman untuk menghalang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump daripada memecatnya, menurut peguamnya pada Selasa.
Tindakan itu dijangka mencetuskan pertarungan undang-undang berpanjangan berhubung usaha Rumah Putih membentuk dasar monetari negara.
“Cubaan beliau memecat Cook hanya berdasarkan sepucuk surat rujukan, tidak mempunyai asas fakta atau undang-undang. Kami akan memfailkan saman mencabar tindakan haram ini,” kata peguam ternama Washington, Abbe Lowell, dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Trump mengumumkan niat memecat Cook, wanita kulit hitam pertama yang berkhidmat dalam badan pengurusan Fed kononnya atas dakwaan penipuan dan kemungkinan salah laku jenayah berkaitan pinjaman perumahan yang diambilnya pada 2021.
Langkah Trump itu dianggap belum pernah berlaku dalam sejarah 111 tahun lembaga Fed yang secara tradisi bebas daripada pengaruh politik. Ia juga selari dengan pendekatan beliau yang sering mencabar norma dan mendorong pihak lawan mengambil tindakan undang-undang.
Sejak kembali memegang jawatan pada Januari lalu, Trump mengawal ketat birokrasi kerajaan termasuk menyaksikan ratusan ribu penjawat awam berundur, beberapa agensi dibubarkan serta perbelanjaan berbilion dolar yang diluluskan Kongres ditangguhkan.
“Kita perlukan individu yang benar-benar telus, dan nampaknya beliau tidak begitu,” kata Trump kepada wartawan, sambil menambah beliau mempunyai beberapa calon pengganti berpotensi tetapi akan menghormati keputusan mahkamah sekiranya Cook kekal di jawatan.
Trump sebelum ini sering mendesak Fed menurunkan kadar faedah semasa penggal pertamanya dan kebelakangan ini meningkatkan tekanan dengan tuntutan penurunan beberapa mata peratusan.
Malah, beliau pernah mengancam untuk memecat Pengerusi Fed, Jerome Powell, sebelum menarik balik kenyataan itu.
Sekiranya Cook disingkirkan, Trump berpeluang menguasai majoriti dalam Lembaga Tujuh Ahli Fed, termasuk dua penyandang sedia ada serta pencalonan ahli ekonomi Rumah Putih, Stephen Miran.
Menurut Wall Street Journal, nama bekas Presiden Kumpulan Bank Dunia dan sekutu lama Trump, David Malpass turut disebut-sebut.
Dalam kenyataan berasingan, Fed menegaskan Cook serta ahli lembaga lain berkhidmat untuk tempoh 14 tahun dan tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya, bagi memastikan dasar monetari dibuat berdasarkan data ekonomi dan kepentingan jangka panjang rakyat AS.
Cubaan Trump mencampuri dasar monetari ini menjejaskan keyakinan terhadap dolar AS serta bon kerajaan sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap potensi kegawatan kewangan global.-AGENSI