WELLINGTON: Seorang ahli Parlimen New Zealand dari Parti Green, Chloe Swarbrick, digantung daripada menghadiri persidangan Parlimen selama seminggu selepas enggan menarik balik kenyataan kontroversinya berhubung pengiktirafan negara Palestin dan sekatan ke atas Israel.
Insiden itu berlaku pada Selasa, ketika Swarbrick mencabar ahli Parlimen kerajaan untuk menyokong rang undang-undangnya yang bertujuan membolehkan New Zealand mengenakan sekatan ke atas Israel berhubung jenayah perang.
“Jika kita dapat mencari enam daripada 68 ahli Parlimen kerajaan yang berprinsip, kita boleh berada di pihak yang benar dalam sejarah,” katanya semasa perbahasan.
Speaker Dewan, Gerry Brownlee, menyifatkan kenyataan itu sebagai “sama sekali tidak boleh diterima”, dan mengarahkan Swarbrick menarik balik kenyataan tersebut serta membuat permohonan maaf. Bagaimanapun, Swarbrick menolak arahan itu dan berkata beliau “dengan senang hati” akan meninggalkan dewan.
Brownlee kemudian mengesahkan Swarbrick akan digantung selama seminggu, namun menambah beliau boleh kembali lebih awal jika membuat permohonan maaf sebelum Rabu.
Dalam satu lagi tindakan yang mencetuskan bantahan, Swarbrick turut meletakkan selendang Palestin (keffiyeh) di tempat duduknya — satu tindakan yang dibantah oleh Timbalan Perdana Menteri, David Seymour.
Ketegangan ini berlaku ketika kerajaan New Zealand sedang mempertimbangkan pendirian rasmi berhubung pengiktirafan negara Palestin. Pada Isnin, Menteri Luar, Winston Peters, menyatakan bahawa keputusan mengenainya akan dibuat dalam tempoh sebulan.
Setakat ini, hampir 150 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf negara Palestin, namun beberapa kuasa besar Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom masih belum berbuat demikian.










