ANCHORAGE: Seorang penduduk tempatan menjadi ‘pemenang besar’ selepas sidang kemuncak berprofil tinggi antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Russia, Vladimir Putin di Anchorage minggu lalu apabila menerima hadiah motosikal baharu bernilai AS$22,000 (RM92,926) daripada kerajaan Russia.
Mark Warren, 67, seorang bekas pemeriksa bomba di Perbandaran Anchorage, menerima sebuah motosikal Ural Gear Up lengkap dengan ruang sisi sebagai tanda penghargaan, seminggu selepas temu bualnya bersama kru televisyen Russia tular di negara itu.
“Saya benar-benar terkejut. Saya cuma lelaki biasa dengan motosikal lama. Saya tidak tahu kenapa mereka rasa saya menarik,” katanya kepada media tempatan.
Kisah Warren bermula seminggu sebelum sidang kemuncak apabila dia keluar menunggang motosikal Ural miliknya yang dibeli daripada seorang jiran.
Kru televisyen Russia yang kebetulan berada di kawasan itu menghampirinya dan mengadakan sesi temu bual.
Dalam temu bual tersebut, Warren mendedahkan kesukarannya mendapatkan alat ganti motosikal berkenaan kerana masalah bekalan.
Temu bual itu kemudiannya menjadi tular di media sosial Russia, sekali gus menarik perhatian pengeluar motosikal tersebut yang berpangkalan di Petropavlovsk, Kazakhstan, dengan pusat edaran di Washington, AS.
Dua hari sebelum sidang kemuncak bermula pada 15 Ogos lalu, Warren menerima panggilan daripada wartawan Russia yang memaklumkan dia akan menerima sebuah motosikal baharu.
Keesokan harinya, Warren bersama isterinya pergi ke sebuah hotel di Anchorage untuk majlis penyerahan motosikal berwarna hijau tentera itu dan di lokasi tersebut, enam lelaki yang dipercayai wakil delegasi Russia menunggu bersama motosikal berkenaan.
“Saya tidak sangka mereka betul-betul hantar motosikal itu,” katanya.
Bagaimanapun, Warren mengakui bimbang hadiah itu mungkin menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Saya harap tiada siapa yang menuduh saya terlibat dengan agenda Russia. Saya hanya terima hadiah, itu sahaja,” katanya. – AGENSI









