BAITULMUQADDIS: Menteri Warisan Israel, Amichai Eliyahu mencetuskan kontroversi apabila menyatakan Israel merancang membangunkan semula penempatan Yahudi di Semenanjung Gaza.
“Kerajaan giat berusaha melupuskan Gaza dan syukur kepada Tuhan, kita sedang menghapuskan kejahatan ini. Seluruh Gaza akan menjadi milik Yahudi.
“Kita tidak perlu risau tentang kebuluran di Gaza. Semuanya akan menjadi lebih baik selepas ini,” katanya dalam satu temu bual bersama stesen radio Kol Barama, pagi Khamis.
Ketua pembangkang, Yair Lapid, mengecam kenyataan Eliyahu dengan menyifatkan kata-katanya sebagai serangan moral dan bencana propaganda.
Menurut Lapid, Israel tidak akan dapat meyakinkan dunia tentang keadilan perang menentang keganasan selagi mereka dipimpin oleh kerajaan minoriti ekstremis yang memuliakan pertumpahan darah dan kematian.
“Anggota tentera Israel tidak berjuang, terbunuh atau cedera untuk menghapuskan populasi awam.
“Mereka berjuang untuk mengembalikan tebusan dan menjamin keselamatan Israel,” kataLapid.
Kenyataan Eliyahu mencerminkan retorik yang semakin lantang dari tokoh-tokoh sayap kanan dalam politik Israel, termasuk Menteri Kewangan Bezalel Smotrich.
Pada Selasa lalu, Smotrich menghadiri persidangan “Riviera di Gaza – Dari Visi ke Realiti” di Knesset, dengan satu pelan praktikal dibentangkan bagi menubuhkan kehadiran Yahudi secara kekal di Gaza.
“Ketua Turus Tentera memaklumkan kepada saya seminggu lalu mengenai sempadan utara Gaza perlu dianeksasi atas alasan keselamatan,” dedah Smotrich dalam persidangan itu.










