WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertimbangkan sekatan tambahan terhadap Moscow susulan rasa tidak puas hati beliau terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin, berikutan peningkatan jumlah kematian dalam perang Moscow dengan Ukraine.
Trump, yang semasa kempen presidennya berikrar untuk menamatkan perang dalam masa sehari, masih belum dapat menunaikan janji itu dan usaha pentadbirannya untuk menjadi perantara damai masih belum berhasil.
Trump meluahkan kemarahannya terhadap Putin semasa mesyuarat dengan pegawai Kabinet di Rumah Putih.
“Saya tidak berpuas hati dengan Putin. Itu saya boleh katakan sekarang.
“Kami sering menerima banyak janji kosong daripada Putin. Beliau kelihatan sangat mesra, tetapi semuanya tidak bermakna,” kata Trump.
Trump berkata, beliau kini mempertimbangkan untuk menyokong satu Rang Undang-Undang di Senat yang akan mengenakan sekatan berat terhadap Russia berikutan perang tersebut.
“Saya sedang meneliti perkara ini dengan serius,” katanya.
Rang undang-undang itu, yang diketuai oleh Senator Republikan Lindsey Graham dari Carolina Selatan dan Senator Demokrat Richard Blumenthal dari Connecticut, turut akan ‘menghukum’ negara-negara lain yang berdagang dengan Moscow, dengan mengenakan tarif sebanyak 500 peratus terhadap negara yang membeli minyak, gas, uranium dan eksport lain dari Russia.
Terdahulu, Trump memaklumkan AS akan menghantar lebih banyak senjata ke Ukraine, terutamanya senjata pertahanan, untuk membantu negara itu mempertahankan diri daripada kemaraan Russia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, beliau telah mengarahkan perluasan hubungan dengan AS bagi memastikan penghantaran bekalan ketenteraan penting, terutamanya pertahanan udara.
Zelensky telah berulang kali menggesa sekutu Ukraine untuk mengenakan sekatan yang lebih keras terhadap Moscow bagi memaksa Kremlin bersetuju dengan gencatan senjata sebagai langkah awal ke arah menamatkan perang yang kini telah berlarutan selama 40 bulan.
Keputusan Pentagon menghentikan beberapa penghantaran senjata penting ke Ukraine mencetuskan amaran daripada Kyiv minggu lalu bahawa langkah itu akan melemahkan keupayaannya untuk mempertahankan diri daripada kemaraan tentera Russia.









