LOS ANGELES: Tiga anggota polis dari unit khas bahan letupan di Los Angeles (LA) maut dalam satu letupan di pusat latihan penguatkuasaan undang-undang di sini awal pagi Jumaat, dalam insiden yang dipercayai berkaitan latihan.
Menurut Sherif Los Angeles County, Robert Luna, kesemua mangsa merupakan anggota Unit Bahan Letupan dan Siasatan Kebakaran, pasukan elit yang berpengalaman luas serta menjalani latihan intensif bagi menangani lebih 1,000 kes setiap tahun.
“Mereka adalah pakar terbaik dalam bidang ini, namun malangnya saya kehilangan tiga orang daripada mereka hari ini,” katanya.
Letupan itu berlaku sekitar 7.30 pagi waktu tempatan di Pusat Latihan Biscailuz, kata jurucakap Jabatan Sherif Los Angeles County, Nicole Nishida.
Setakat ini, punca letupan masih belum dikenal pasti dan tidak diketahui secara jelas apakah aktiviti yang sedang dijalankan oleh mangsa ketika kejadian.
Kes kematian tersebut kini disiasat oleh detektif pembunuhan jabatan berkenaan dengan bantuan pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) serta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF).
Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang yang enggan dikenali memberitahu agensi Associated Press, siasatan awal menjurus kepada kemungkinan insiden itu merupakan kemalangan ketika latihan.
Sherif Luna berkata, ketiga-tiga mangsa telah berkhidmat dalam jabatan itu selama 74 tahun secara keseluruhan, menjadikan insiden ini sebagai kehilangan nyawa terbesar melibatkan anggota polis Los Angeles dalam satu kejadian sejak tahun 1857.
Sehingga kini, identiti mangsa masih belum didedahkan kerana pihak berkuasa masih belum memaklumkan kepada keluarga mangsa yang ketiga.
Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass, dalam kenyataan di X memaklumkan anggota penyiasat dari Jabatan Bomba Los Angeles dan skuad bom Jabatan Polis Los Angeles turut membantu siasatan di lokasi kejadian.
Pejabat Gabenor California, Gavin Newsom pula memaklumkan beliau telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan Jabatan Perkhidmatan Kecemasan Negeri California kini bekerjasama rapat dengan pihak Sherif untuk memantau keadaan. –AGENSI










