'Terimalah lebih ramai pesakit Gaza, nyawa mereka menunggu anda' - Utusan Malaysia

‘Terimalah lebih ramai pesakit Gaza, nyawa mereka menunggu anda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memindahkan 35 pesakit dari Semenanjung Gaza ke Jordan, dalam misi menyelamatkan nyawa yang kini menjadi simbol harapan buat ribuan lagi yang masih menunggu.

Kebanyakan pesakit yang dipindahkan adalah kanak-kanak, ditemani oleh 72 ahli keluarga.

Mereka dibawa keluar dari wilayah yang musnah akibat konflik, untuk menerima rawatan perubatan rapi yang mustahil diperoleh di Gaza ketika ini.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Jordan atas komitmen kemanusiaan mereka, kerana terus membuka pintu dan memberi rawatan kepada pesakit yang berada dalam keadaan paling kritikal,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi kenyataan di platform X.

Namun, Dr. Tedros memberi peringatan terdapat lebih 10,000 pesakit di Gaza masih memerlukan pemindahan perubatan segera, dan tanpa bantuan daripada negara-negara lain, mereka mungkin tidak akan bertahan.

“Kami merayu kepada negara-negara di seluruh dunia, tampil ke hadapan. Nyawa mereka sedang menunggu,” tegas beliau.

Sejak serangan berterusan Israel ke atas Gaza, sistem kesihatan di wilayah itu berada di ambang kehancuran.

Kekurangan ubat-ubatan, makanan, air bersih dan bahan api, ditambah dengan kerosakan infrastruktur akibat pengeboman, telah menyebabkan banyak hospital tidak lagi beroperasi, manakala yang masih berfungsi hanya mampu memberikan rawatan paling asas dalam keadaan sangat terhad.

WHO menyatakan usaha memindahkan semua pesakit yang memerlukan rawatan di luar Gaza mungkin mengambil masa bertahun-tahun, jika tidak disegerakan.

Sehingga kini, konflik di Gaza telah meragut lebih 58,573 nyawa rakyat Palestin, sebahagian besarnya adalah orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

WHO juga terus menggesa agar akses sepenuhnya ke hospital di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dikembalikan seperti sebelum konflik, bagi membolehkan rawatan berterusan kepada pesakit yang terjejas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×