SISAKET, THAILAND: Pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja memasuki hari ketiga hari ini, namun terdapat perkembangan positif apabila kedua-dua negara mula mendapatkan sokongan diplomatik. Kedua-dua pihak menegaskan mereka bertindak atas dasar mempertahankan diri dan menggesa supaya pertempuran dihentikan serta rundingan damai dimulakan segera.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 33 orang disahkan terkorban manakala lebih 140,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka dalam konflik bersenjata paling serius antara dua negara jiran Asia Tenggara itu dalam tempoh 13 tahun.
Tentera laut Thailand memaklumkan pertempuran tercetus di wilayah pesisir Trat pada awal pagi tadi, kira-kira 100 kilometer dari kawasan sempadan utama yang menjadi rebutan dan punca ketegangan sekian lama.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja semakin meruncing sejak Mei lalu, susulan insiden tembakan yang menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh.
Pasukan tentera di sepanjang sempadan kini ditingkatkan kawalan, manakala krisis ini juga memberi tekanan hebat kepada kerajaan pakatan Thailand yang ketika ini dalam keadaan goyah.
Setakat hari ini, jumlah korban di pihak Thailand kekal 19 orang. Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, memaklumkan bahawa lima anggota tentera dan lapan orang awam dari negaranya turut terkorban dalam pertempuran.
Di daerah Kanthralak, wilayah Sisaket yang terletak berdekatan zon konflik, suasana menjadi lengang. Seorang pekerja hotel, Chianuwat Thalalai, berkata bandar tersebut kini hampir kosong.
“Hampir semua penduduk telah berpindah. Bandar ini kini ibarat kota terbiar,” katanya. “Namun, hotel ini masih dibuka kepada mereka yang memerlukan tempat perlindungan berhampiran kawasan sempadan.”
Dalam pada itu, Duta Thailand ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cherdchai Chaivaivid, memaklumkan kepada Mesyuarat Majlis Keselamatan pada Jumaat bahawa dua kejadian letupan periuk api yang dipercayai baru dipasang telah mencederakan tentera Thailand di wilayah mereka sejak pertengahan Julai.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak Kemboja menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan malah melancarkan serangan balas pada pagi Khamis.
“Thailand menyeru Kemboja agar segera menghentikan segala bentuk permusuhan dan tindakan pencerobohan, serta kembali ke meja rundingan dengan niat yang baik,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media.










