KAHERAH: Kereta kebal Israel memasuki kawasan selatan dan timur bandar Deir al-Balah di Gaza buat pertama kali kelmarin, dipercayai sebagai lokasi pejuang Hamas mungkin menahan tebusan.
Kawasan itu dipenuhi penduduk Palestin yang dipaksa berpindah akibat peperangan berlarutan selama lebih 21 bulan, dan ratusan mereka melarikan diri ke arah barat atau selatan selepas Israel mengeluarkan arahan pemindahan, dengan alasan ingin memusnahkan infrastruktur serta keupayaan pejuang Hamas.
Menurut petugas perubatan tempatan, serangan kereta kebal di kawasan itu mengenai beberapa rumah dan masjid, mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga penduduk Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric mengesahkan dua rumah tamu PBB di Deir al-Balah turut terkena serangan, walaupun pihak terlibat dimaklumkan mengenai lokasi premis tersebut.
“Lokasi-lokasi ini, seperti semua tapak awam, mesti dilindungi, tanpa mengira arahan pemindahan,” tegas beliau.
Di selatan Gaza, serangan udara Israel di Khan Younis membunuh sekurang-kurangnya lima orang, termasuk sepasang suami isteri dan dua anak mereka yang sedang berlindung di dalam khemah, menurut petugas kesihatan.
Kementerian Kesihatan Gaza dalam laporan hariannya memaklumkan, sekurang-kurangnya 130 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 1,000 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan ketenteraan Israel di seluruh wilayah.
Angka tersebut merupakan antara jumlah korban harian tertinggi yang dicatatkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pihak tentera Israel sebelum ini mengelak daripada memasuki Deir al-Balah kerana bimbang ia merupakan lokasi penahanan para tebusan. Sumber tentera percaya sekurang-kurangnya 20 daripada 50 tebusan yang masih ditahan di Gaza masih hidup.
Susulan perkembangan itu, waris tebusan mendesak penjelasan segera daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Menteri Pertahanan Israel Katz dan ketua angkatan tentera mengenai langkah-langkah perlindungan terhadap ahli keluarga mereka.
“Rakyat Israel tidak akan memaafkan sesiapa yang sengaja membahayakan nyawa para tebusan, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
“Tiada siapa boleh mendakwa mereka tidak tahu apa yang sedang dipertaruhkan,” tegas Forum Keluarga Tebusan dalam satu kenyataan.










