Tarif 100 peratus terhadap Russia jika perang tidak tamat dalam masa 50 hari

Tarif 100 peratus terhadap Russia jika perang tidak tamat dalam masa 50 hari

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengancam mengenakan tarif 100 peratus terhadap Russia sekiranya perang di Ukraine tidak ditamatkan dalam tempoh 50 hari, sekali gus mencerminkan rasa tidak puas hati beliau yang semakin memuncak terhadap Presiden Vladimir Putin.

Beliau berkata, tarif yang akan dikenakan ialah tarif sekunder, iaitu mensasarkan rakan dagang Russia bagi mengasingkan Moscow daripada ekonomi global.

“Kita akan kenakan tarif yang sangat keras jika tiada perjanjian dalam 50 hari.

“Saya gunakan perdagangan untuk banyak perkara tapi ia sangat berkesan untuk hentikan perang,” kata Trump ketika bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte di Pejabat Oval pada Isnin.

Selain ancaman tarif, Trump dan Rutte turut membincangkan pelan saluran baru bagi penghantaran senjata AS ke Ukraine.

Negara-negara Eropah akan membeli peralatan ketenteraan dari AS dan kemudian menyalurkannya ke Ukraine. Trump menjangkakan nilai pembelian itu akan mencecah berbilion dolar.

Rutte menyebut Jerman, Finland, Kanada, Norway, Sweden, United Kingdom dan Denmark adalah antara negara yang akan mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut dan beliau berharap langkah itu akan membuatkan Putin mempertimbangkan semula rundingan damai.

Trump sebelum ini sering menonjolkan hubungan mesranya dengan Putin dan sejak mula memegang jawatan pada Januari, beliau berulang kali mendakwa Russia lebih bersedia daripada Ukraine untuk mencapai perjanjian damai malah turut menuduh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sebagai ‘diktator tanpa pilihan raya’ yang melanjutkan perang.

Namun, serangan berterusan Russia terhadap kawasan awam di Ukraine dikatakan telah mengikis kesabaran Trump. Pada April lalu, beliau menyeru Putin agar berhenti melancarkan serangan ke atas Kyiv, dan pada bulan berikutnya menyifatkan tindakan Putin sebagai ‘benar-benar gila’ dalam satu hantaran media sosial.

“Perang ini terus berpanjangan. Setiap malam, ada nyawa yang terkorban,” kata Trump pada Isnin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN