Taipei jalani latihan kecemasan hadapi 'situasi sebenar' jika diserang China - Utusan Malaysia

Taipei jalani latihan kecemasan hadapi ‘situasi sebenar’ jika diserang China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Taipei berubah menjadi sunyi apabila siren serangan udara bergema di seluruh bandar raya, memaksa penduduk berlindung dalam latihan pertahanan awam terbesar yang pernah diadakan iaitu satu simulasi dramatik yang mencerminkan kebimbangan semakin memuncak terhadap kemungkinan pencerobohan oleh China.

Latihan berskala besar ini merupakan sebahagian daripada Urban Resilience Exercise, yang dijalankan serentak dengan latihan ketenteraan tahunan Han Kuang. Lebih 22,000 anggota tentera digerakkan dalam simulasi serangan penuh.

Latihan itu meliputi darat, laut dan udara termasuk senario korban besar-besaran, seolah-olah peperangan sudah menghampiri pintu pagar negara pulau itu.

Di tengah-tengah bandar, jalan raya lengang. Kedai, restoran, dan pasar tiba-tiba sunyi. Arahan dikeluarkan kepada semua dengan penduduk diminta segera masuk ke bangunan, manakala pemandu diarahkan keluar dari kenderaan untuk berlindung. Kehidupan harian dihentikan seketika dalam babak yang menyerupai filem pasca-apokalips.

Pasukan kecemasan dan ratusan sukarelawan pula sibuk melaksanakan pemindahan di sekolah, lebuh raya dan stesen kereta api bawah tanah.

Mereka turut mendirikan pusat bekalan kecemasan dan menyimulasikan tindak balas pantas terhadap insiden berkaitan mangsa ramai.

Latihan ini berlangsung ketika ketegangan antara Taiwan dan China terus membara.

Beijing masih mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya dan berulang kali menyatakan kesediaan menggunakan kekerasan demi mencapai “penyatuan semula.”

Sejak memegang jawatan tahun lalu, Presiden Taiwan William Lai memperhebat usaha memperkukuh pertahanan negara, menjadikan latihan seperti ini semakin penting dalam landskap keselamatan semasa.

Namun begitu, walaupun amaran pencerobohan dari pegawai AS menjangkakan ancaman menjelang 2027, majoriti rakyat Taiwan masih kekal tenang.

Tinjauan oleh Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Nasional menunjukkan lebih 60 peratus percaya China tidak akan menyerang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN