Starmer panggil semula Kabinet dari cuti musim panas untuk bincang isu Gaza - Utusan Malaysia

Starmer panggil semula Kabinet dari cuti musim panas untuk bincang isu Gaza

KEIR STARMER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer akan memanggil semula anggota kabinetnya daripada cuti musim panas bagi membincangkan situasi di Gaza, lapor akhbar Financial Times (FT) pada Ahad susulan tekanan yang semakin meningkat terhadap kerajaan Parti Buruh untuk mengiktiraf negara Palestin.

Menurut FT, keputusan untuk memanggil semula mesyuarat kabinet minggu depan telah diumumkan oleh Downing Street pada Ahad. Ketika ini, Parlimen dan Kabinet United Kingdom (UK) sedang bercuti musim panas sehingga 1 September.

Langkah itu dibuat susulan kenyataan Starmer pada Jumaat kerajaan Britain hanya akan mengiktiraf negara Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang dirundingkan, sesuatu yang mengecewakan ramai ahli Parti Buruh yang mahukan tindakan segera seperti yang diambil oleh Perancis.

Pejabat Starmer setakat ini tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan komen daripada agensi berita Reuters berhubung laporan itu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Khamis menyatakan bahawa negaranya akan mengiktiraf negara Palestin, langkah yang menerima kecaman keras daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS). Tindakan itu menyusuli langkah serupa oleh Sepanyol, Norway dan Ireland tahun lalu.

Lebih 220 ahli parlimen di UK, mewakili kira-kira satu pertiga daripada Dewan Rakyat dan kebanyakannya daripada Parti Buruh telah menulis surat kepada Starmer pada Jumaat, menggesa beliau mengiktiraf negara Palestin.

Kerajaan-kerajaan British sebelum ini pernah menyatakan bahawa mereka akan mengiktiraf negara Palestin apabila tiba masa yang sesuai, namun tanpa memberikan garis masa atau syarat yang jelas.

Pendekatan Starmer dalam isu ini turut menjadi lebih rumit susulan ketibaan Presiden AS Donald Trump di Scotland pada Jumaat, di mana beliau dikatakan mempunyai hubungan mesra dengan pemimpin Britain itu. Dalam hal ehwal dasar luar, Britain jarang menyimpang daripada dasar AS.

Israel kini berdepan kecaman antarabangsa yang semakin meningkat berikutan krisis kemanusiaan di Gaza, di mana imej rakyat Palestin yang kebuluran telah menggemparkan masyarakat dunia, kritikan yang ditolak oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×