Starlink hentikan sementara pendaftaran pelanggan baharu di Indonesia

Starlink hentikan sementara pendaftaran pelanggan baharu di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Perkhidmatan internet satelit Starlink yang dikendalikan oleh SpaceX milik Elon Musk, mengumumkan penghentian sementara pendaftaran pelanggan baharu di Indonesia bermula Isnin lalu.

Langkah ini diambil ekoran capaian rangkaian yang telah mencapai had kapasiti di negara itu.

“Perkhidmatan Starlink buat masa ini tidak tersedia untuk pelanggan baharu di kawasan anda kerana kapasiti di seluruh Indonesia telah habis dijual,” menurut kenyataan di laman web rasmi Starlink.

Selain itu, syarikat turut memberhentikan sementara pengaktifan peralatan baharu bagi pelanggan yang membeli peranti Starlink melalui penjual runcit atau pihak ketiga.

Bagaimanapun, bakal pengguna masih boleh mendaftar dalam senarai menunggu dengan membayar deposit dan akan dimaklumkan sebaik perkhidmatan tersedia semula.

“Kami tidak dapat memberikan anggaran masa tepat untuk ketersediaan semula, tetapi pasukan kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan Starlink di Indonesia secepat mungkin,” jelas kenyataan tersebut.

Perkembangan ini berlaku selepas Starlink dilancarkan secara rasmi di Indonesia pada 19 Mei tahun lalu, dengan kehadiran Musk sendiri pada majlis pelancaran di Bali.

Ketika dilancarkan, Starlink dijangka dapat membantu merapatkan jurang digital di kawasan pedalaman Indonesia, terutamanya di wilayah kepulauan dan luar bandar yang selama ini menghadapi kesukaran mendapatkan akses internet yang stabil.

Kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Informatika Indonesia turut dimeterai bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan tempatan serta mengelakkan monopoli perkhidmatan.

Namun, kebimbangan dibangkitkan oleh penggiat industri tempatan yang bimbang kehadiran syarikat asing gergasi seperti Starlink boleh menjejaskan penyedia perkhidmatan tempatan dan menyukarkan persaingan yang sihat dalam sektor telekomunikasi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN