SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan kesediaan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan terhadap sindiket pemerdagangan bayi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan republik ini.
Dalam satu kenyataan, SPF memaklumkan mereka sudah menghubungi pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan tersebut.
“Polis tidak menerima sebarang laporan mahupun maklumat tempatan berkaitan bayi yang diseludup masuk ke Singapura dari Indonesia.
“Namun, kami maklum tentang laporan media mengenai kewujudan sindiket penyeludupan bayi yang dikaitkan dengan Singapura,” kata jurucakap SPF.
Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini memaklumkan seramai 13 suspek ditahan setakat ini, manakala enam bayi diselamatkan dalam operasi membanteras sindiket berkenaan.
Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Surawan, siasatan awal mendapati lima daripada bayi tersebut dijadualkan dihantar ke Singapura menggunakan dokumen palsu.
Laporan media tempatan termasuk BBC News Indonesia menyebut sindiket itu dipercayai sudah menjual sekurang-kurangnya 25 bayi sejak tahun 2023, dengan 15 daripadanya didakwa dihantar ke Singapura.
Seorang lagi suspek ditahan pada malam 15 Julai, dan pihak berkuasa kini sedang memburu tiga lagi individu yang dipercayai melarikan diri ke luar negara, menurut laporan Metro TV.
Siasatan terbongkar selepas sepasang ibu bapa membuat laporan berhubung kehilangan bayi mereka.
Laporan itu membawa kepada pendedahan satu rangkaian penyeludupan bayi yang lebih besar, dipercayai beroperasi di beberapa kawasan di wilayah Jawa Barat.
SPF menegaskan sebarang tindakan akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang Singapura dan kerjasama rentas negara akan diberikan demi memastikan keadilan ditegakkan serta bayi-bayi yang menjadi mangsa dilindungi.










