Serangan Israel di Gaza ragut nyawa 28 kanak-kanak setiap hari - Utusan Malaysia

Serangan Israel di Gaza ragut nyawa 28 kanak-kanak setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan lebih 17,000 kanak-kanak terbunuh sejak permulaan serangan Israel di Gaza bersamaan purata 28 kanak-kanak mati setiap hari.

Statistik mengejutkan mengenai mangsa dalam kalangan kanak-kanak akibat serangan Israel itu didedahkan Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russel dalam sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu sekaligus terus menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

“Ia seolah-olah kita kehilangan satu kelas pelajar setiap hari selama dua tahun,” katanya.

Russell turut menegaskan kanak-kanak tidak terlibat dalam konflik politik, tidak memulakan peperangan dan tidak mempunyai kuasa untuk menghentikannya.

“Namun mereka menanggung derita paling berat, dan tertanya-tanya mengapa dunia gagal melindungi mereka,” ujarnya dengan nada penuh kesal.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PBB, Tom Fletcher memberi amaran bahawa keadaan kesihatan di Gaza kini berada di tahap bencana.

“Daripada 36 hospital, hanya 17 yang masih beroperasi, itu pun sebahagiannya sahaja ketika jumlah mangsa yang cedera terus meningkat setiap hari,” katanya.

Fletcher turut mendedahkan separuh daripada peralatan perubatan telah rosak manakala krisis bahan api yang berterusan mengancam operasi ambulans dan perkhidmatan penting lain.

Dalam satu pendedahan yang lebih merisaukan, beliau menyatakan lebih 5,800 kanak-kanak lelaki dan perempuan didiagnosis mengalami kekurangan zat makanan akut pada Jun sahaja.

“Dalam krisis kebuluran ini, minggu lalu, wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan ketika mereka sedang menunggu bantuan makanan tambahan yang sepatutnya menyelamatkan nyawa mereka,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×