Sekatan PBB hanya akan ‘akhiri’ rundingan nuklear Iran

Sekatan PBB hanya akan ‘akhiri’ rundingan nuklear Iran

MENTERI Luar Iran, Abbas Araghchi (kanan) berbual dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres (kiri) di Rio De Janeiro, Brazil baru-baru ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi amaran sebarang pengaktifan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap negaranya akan menamatkan terus peranan Eropah dalam isu rundingan nuklear Iran.

Menurut Araghchi, tindakan itu akan mencetuskan krisis kepercayaan dan menggagalkan sumbangan Eropah dalam kerangka Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai pada 2015 antara Iran dan kuasa-kuasa besar dunia.

Perjanjian tersebut telah digugat apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump menarik diri daripadanya pada 2018.

Dalam kenyataan pada Sabtu, beliau memaklumkan Teheran kini meneliti kemungkinan menyambung semula rundingan nuklear dengan AS.

“Kami sedang mengkaji masa, lokasi, bentuk, kandungan serta jaminan yang perlu disediakan oleh pihak AS untuk memulakan rundingan,” katanya kepada para diplomat di Teheran.

Beliau turut menegaskan sebarang perbincangan hanya akan tertumpu kepada program nuklear Iran semata-mata dan tidak melibatkan aspek ketenteraan.

“Jika rundingan dijalankan, ia hanya mengenai isu nuklear dan membina keyakinan terhadap program tersebut dengan pertukaran penghapusan sekatan. Tiada isu lain akan dirun­dingkan,” tegasnya.

Kenyataan ini hadir selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran pada 13 Jun lalu terhadap tapak-tapak nuklear Iran termasuk menyerang pemimpin tentera, saintis nuklear serta kawasan perumahan yang mengorbankan ratusan nyawa.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa serangan itu adalah untuk menghapuskan ancaman Iran terhadap kelangsungan hidup Israel.

Namun, Iran menyifatkan tindakan itu sebagai pencerobohan tanpa provokasi dan jelas melanggar Piagam PBB.

Susulan itu, kedua-dua negara bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu secara harian dalam beberapa hari berikutnya sebelum AS turut campur tangan dengan menyerang kemudahan nuklear Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN