TEL AVIV: Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menggantung semua pembelian ketenteraan baharu berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan pusingan baharu konflik dengan Iran, selepas tentera Israel dilaporkan kehilangan puluhan dron bernilai jutaan dolar di ruang udara negara tersebut.
Menurut laporan Ynet, Kementerian Kewangan Israel enggan meluluskan permintaan tambahan bajet sebanyak 60 bilion shekel (RM74 bilion) yang dikemukakan oleh Kementerian Pertahanan bagi menampung kos operasi ketenteraan baru-baru ini terhadap Iran dan operasi berterusan Gideon’s Chariots di Semenanjung Gaza.
Kedua-dua operasi itu tidak termasuk dalam bajet negara Israel bagi tahun 2025 yang telah diluluskan sebelum ini.
Laporan tersebut turut mendedahkan wujud pertikaian serius antara dua kementerian utama itu, dengan Kementerian Kewangan menuduh pihak tentera telah membazirkan hari mobilisasi dan kini menyekat peruntukan dana bagi menggantikan stok ketenteraan serta pembelian kecemasan.
Antara pembelian yang tertangguh termasuk pelancar roket yang kini hampir habis digunakan, dan ratusan peluru berpandu yang kebanyakannya dikhaskan untuk kegunaan pasukan tentera Israel di Gaza.
Sumber keselamatan Israel memberitahu Ynet Menteri Kewangan Bezalel Smotrich tahu akan implikasi serangan ke atas Iran, sekali gus memberi gambaran keputusan pembekuan dana itu dibuat walaupun beliau memahami kesannya terhadap kesiapsiagaan tentera.
Krisis ini menimbulkan kebimbangan baharu dalam kalangan penganalisis keselamatan Israel, terutamanya pada saat negara itu masih terlibat dalam operasi ketenteraan berganda di lebih daripada satu medan. -AGENSI










