Rosemawattee jadi juruterbang wanita Islam pertama Tentera Udara Filipina - Utusan Malaysia

Rosemawattee jadi juruterbang wanita Islam pertama Tentera Udara Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAMPANGA: Ketika pertama kali duduk di kokpit pada tahun 1998, Kolonel Rosemawattee Remo bukan sahaja merealisasikan impian peribadi, malah mencatat sejarah sebagai wanita Islam pertama menjadi juruterbang dalam Tentera Udara Filipina (PAF).

Dilahirkan dan dibesarkan di Sulu, wilayah majoriti Muslim di selatan Filipina, Remo dibesarkan dalam sebuah keluarga tradisional yang berpegang kepada peranan lelaki dan wanita yang jelas.

Keputusannya untuk menyertai angkatan tentera, merantau hampir 1,000 kilometer dari kampung halaman dan menjadi juruterbang, pada awalnya tidak diterima baik oleh keluarganya.

“Sehari sebelum saya berangkat ke Manila, saya memberitahunya bahawa saya mempunyai penerbangan yang dijadualkan. Lalu dia berkata: ‘Kamu sudah mendahului abang-abangmu… kami masih hidup, tapi kamu sudah buat keputusan sendiri.’

“Kata-kata itu sentiasa terngiang-ngiang di telinga saya setiap kali saya diuji. Ia mengingatkan saya bahawa saya tidak boleh berputus asa,” katanya.

Kini menyandang pangkat Kolonel dan bertugas sebagai Timbalan Komander Wing Penyelenggaraan ke-410 Tentera Udara Filipina, Remo memulakan kerjayanya dalam angkatan tentera pada tahun 1992 menerusi Kor Wanita Bantu Angkatan Tentera Filipina (Women’s Auxiliary Corps) dan setahun kemudian, beliau mendaftar ke Sekolah Calon Pegawai (Officer Candidate School).

Tamat latihan pada tahun 1994, kelulusannya bertepatan dengan pelaksanaan undang-undang penting yang membolehkan wanita buat kali pertama menyertai peranan tempur dan kepimpinan dalam ketenteraan dan polis, peranan yang sebelum ini eksklusif untuk lelaki.

Empat tahun selepas itu, Remo memulakan latihan sebagai juruterbang dan memilih untuk mengkhusus dalam misi menyelamat menggunakan helikopter sebelum ditugaskan ke Kumpulan Mencari dan Menyelamat PAF ke-505, mengendalikan helikopter Bell 205 dan Huey untuk operasi bencana, serta menjadi pembantu juruterbang bagi helikopter lebih besar seperti Sikorsky dan Black Hawk untuk misi ketenteraan dan bantuan kemanusiaan.

Berkahwin dengan seorang lagi juruterbang PAF, Remo mempunyai tiga orang anak dan berjaya menyeimbangkan tanggungjawab sebagai anggota tentera serta seorang ibu malah menjadikan kedua-duanya saling melengkapi.

Kolonel Remo telah mencatat lebih 2,000 jam penerbangan dalam pelbagai misi penting iaitu mencari dan menyelamat, bantuan, dan pemulihan disamping pernah menyertai persembahan terjun udara dari 1999 hingga 2014.

Sebagai wanita Islam pertama Filipina dalam peranan seumpama ini, Remo enggan melihat pencapaiannya sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Saya sentiasa merendah diri. Jika kita ada impian, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan cari jalan untuk mencapainya,” katanya dengan penuh semangat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN