PARIS: Pegawai perisikan dan ketenteraan Perancis mendakwa China sedang giat menjalankan kempen untuk menjejaskan reputasi dan jualan global jet pejuang Rafale buatan negara itu, susulan pertempuran udara antara India dan Pakistan pada Mei lalu.
Menurut laporan agensi berita Associated Press (AP) yang memetik kenyataan pegawai Perancis, kedutaan-kedutaan China dikesan menyebarkan keraguan terhadap keupayaan pesawat Rafale terutamanya kepada negara-negara yang telah membuat tempahan termasuk Indonesia dalam usaha memujuk mereka memilih pesawat pejuang buatan China.
Pegawai Perancis mendakwa mereka mempunyai bukti usaha tersusun daripada pihak China untuk merosakkan reputasi pesawat kebanggaan negara itu, termasuk dengan memberi tekanan diplomatik terhadap negara pembeli.
Pertempuran empat hari antara India dan Pakistan pada Mei lalu menyaksikan penggunaan besar-besaran pesawat tempur dari kedua-dua pihak termasuk Rafale milik India dan pesawat buatan China yang digunakan Pakistan.
Susulan pertempuran itu, para penyelidik dan pegawai tentera dari pelbagai negara dilaporkan sedang mengkaji sejauh mana keberkesanan peralatan ketenteraan kedua-dua pihak khususnya keupayaan jet pejuang Rafale dalam situasi pertempuran sebenar.
Perancis bergantung kepada jualan pesawat Rafale dan senjata lain sebagai sumber pendapatan utama industri pertahanannya dan sebagai alat diplomatik dalam menjalin hubungan strategik, terutama di rantau Asia yang semakin dipengaruhi kuasa China.
Pakistan mendakwa ia berjaya menembak jatuh lima pesawat India termasuk tiga Rafale dalam konflik tersebut, dakwaan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara pembeli. Walaupun India mengakui berlaku kehilangan pesawat, jumlah tepat tidak didedahkan.
Ketua Tentera Udara Perancis, Jeneral Jerome Bellanger berkata, bukti menunjukkan hanya tiga pesawat India yang musnah, masing-masing satu Rafale, satu Sukhoi buatan Russia dan satu Mirage 2000, pesawat generasi lama buatan Perancis.
“Kehilangan Rafale itu merupakan insiden pertama pesawat tersebut musnah dalam pertempuran sebenar sejak ia dipasarkan. Sudah tentu, negara-negara yang membeli Rafale turut mempersoalkan keupayaannya,” kata Bellanger.
Setakat ini, Perancis telah menjual Rafale kepada lapan negara termasuk India, Indonesia, Mesir dan Qatar.










