Penduduk Thailand, Kemboja nekad enggan tinggalkan rumah

Penduduk Thailand, Kemboja nekad enggan tinggalkan rumah

SAMUAN Niratpai duduk di ladangnya di wilayah Surin di sempadan Thailand walaupun kawasan itu diisytihar sebagai zon merah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURIN: Kebanyakan petani yang tinggal berhampiran sempadan Thailand dan Kemboja, enggan meninggalkan rumah walaupun nyawa mereka terancam setiap hari akibat pertempuran yang semakin sengit.

Perkara tu diakui seorang petani Thailand, Samuan Niratpai, yang tetap mahu menjaga ternakan kerbau miliknya di tengah-tengah dentuman kuat meriam.

“Setiap hari tepat pukul 5 pagi, saya akan mendengar letupan yang kuat. Saya akan bergegas lari ke hutan untuk berlindung,” kata lelaki berusia 53 tahun itu di kampung Baan Bu An Nong, daerah Surin, hanya 40 kilometer (km) dari sempadan.

Keluarga Samuan yang terdiri daripada lima orang melarikan diri ke ibu negara Bangkok pada hari pertama pertempuran Khamis lalu namun dia kekal di kampung bersama ayam peliharaannya, tiga ekor anjing, dan 14 ekor kerbau kesayangannya.

“Bagaimana saya boleh meninggalkan kerbau-kerbau ini? Setiap kali serangan berlaku, saya perlu menenangkan mereka dan memberitahu mereka, ‘tidak mengapa, kita masih bersama’,” katanya dengan linangan air mata.

Konflik sempadan yang berpunca daripada perebutan kuil purba memasuki hari kelima semalam, dengan jet pejuang, mencetus pertempuran rentas sempadan yang dilancarkan dengan kereta kebal dan tentera darat.

Setakat ini, sekurang-ku­rangnya 34 orang terbunuh kebanyakannya orang awam, manakala lebih 200,000 penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman di sepanjang 800km kawasan pedalaman yang dipenuhi ladang getah dan sawah padi.

Namun masih ramai penduduk di kedua-dua belah sempadan tetap memilih untuk kekal di rumah, walaupun berdepan risiko maut.

Di bandar Samraong, Kemboja, yang terletak hanya 20 kilometer dari sempadan, seorang pengusaha restoran berusia 48 tahun, Soeung Chhivling mahu meneruskan kerjanya di dapur untuk memasak makanan kepada askar dan petugas perubatan.

“Saya juga takut, tetapi saya mahu memasak supaya pejuang-pejuang ini mempunyai sesuatu untuk dimakan. Saya tidak bercadangan untuk berpindah melainkan jika jet mula menjatuhkan bom dalam jumlah yang besar,” katanya berhampiran hospital di mana orang awam dan tentera yang cedera sedang dirawat.

Sementara itu, Penyelidik Isu Sempadan Thailand-Kemboja, Pranee Ra-ngabpai berkata, ramai lelaki, termasuk ayahnya sendiri, enggan berpindah kerana berpegang kepada prinsip dan nilai tradisi mereka.

“Mereka masih kekal di sini kerana bagi mereka jika mati pun biarlah di rumah sendiri. Mereka juga merasa bertanggung jawab membantu menjaga ternakan mereka serta jiran-jiran di sekeliling yang sudah berpindah,” katanya.

Di sebuah kubu bawah tanah, hanya 10km dari sempadan, sukarelawan pertahanan awam, Sutian Phiewchan turut berkongsi pengalamannya menerusi panggilan telefon kepada AFP walaupun suaranya terganggu oleh bunyi tembakan.

“Semua orang di sini takut dan tidak dapat tidur. Tetapi kami sanggup melakukan semua ini tanpa bayaran kerana rasa tanggungjawab untuk menjaga dan melindungi nyawa serta harta benda penduduk kampung kami,” jelasnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN