Penduduk Siargao bantah kehadiran pelancong Israel, dakwa langgar adat dan budaya - Utusan Malaysia

Penduduk Siargao bantah kehadiran pelancong Israel, dakwa langgar adat dan budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Rakyat tempatan di pulau peranginan Siargao di selatan Filipina menyuarakan kebimbangan terhadap kehadiran pelancong Israel yang semakin ramai dan mencetuskan ketegangan budaya serta kebimbangan akan berlaku penindasan terhadap komuniti setempat.

Siargao yang terletak di wilayah Surigao del Norte, Mindanao, terkenal sebagai destinasi luncur air utama Filipina dan menjadi tarikan pelancong antarabangsa namun, sejak kebelakangan ini, pulau tersebut menerima kehadiran pelancong dari Israel dalam jumlah yang ketara yang kemudiannya menimbulkan pelbagai rungutan dan aduan daripada penduduk tempatan.

Penyanyi dan aktivis komuniti, Maria Lalaine Tokong menarik perhatian orang ramai minggu lalu apabila memuat naik kenyataan yang menyelar tindakan pelancong yang menurutnya tidak menghormati adat dan budaya tempatan.

“Kami semakin rasa seperti orang asing di tanah kami sendiri,” katanya menerusi hantaran yang menjadi tular di media sosial.

Kenyataan Tokong menerima puluhan ribu reaksi dan perkongsian daripada rakyat Filipina lain yang menyuarakan kebimbangan sama, terutamanya selepas berita berhubung rancangan pembukaan pusat komuniti Israel (Chabad House) di pulau tersebut tular di media tempatan.

Menurut Tokong, komuniti tempatan menolak cadangan tersebut selepas mengadakan pertemuan bersama wakil Kedutaan Israel pada bulan Mei lalu.

“Kami sudah ada sistem pendidikan, kami sudah ada gereja. Apa lagi tujuannya (pusat komuniti tersebut)?” katanya.

Sementara itu, Project Paradise sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di Siargao telah mengadakan sesi dialog bersama penduduk dan pengusaha tempatan pada April lalu bagi mengumpul aduan serta kebimbangan berkaitan kelakuan pelancong.

Presidennya, Sofia Nicole de Asis, memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan pelanggaran nilai budaya dan adat tempatan termasuk bising pada waktu malam, pemanduan secara cuai, pemakaian tidak sopan di kawasan luar bandar serta sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Meskipun laporan ini tidak hanya tertumpu kepada satu golongan tertentu, kami sentiasa berpendirian bahawa isu kelakuan ini berkait rapat dengan sikap individu, bukan kewarganegaraan mereka,” ujarnya.

Namun begitu, kumpulan media sosial Siargao Business Classified 2.0 dipenuhi dengan rungutan yang mendakwa pelancong Israel menggelar pekerja tempatan sebagai hamba, menaikkan bendera Israel secara haram di bot-bot pelancongan, merosakkan inap desa tempatan serta melanggar peraturan senyap waktu malam selain bersikap kasar dan menyerang penduduk.

Situasi ini telah mencetuskan perdebatan meluas dalam kalangan rakyat Filipina, yang mahu agar pelancongan dibangunkan secara lestari tanpa menjejaskan maruah dan identiti komuniti asal. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN