KAHERAH: Penduduk Mesir melancarkan inisiatif ‘Dari Laut ke Laut – Botol Harapan untuk Gaza’ sebagai langkah terdesak membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat krisis kemanusiaan dan kebuluran di Gaza.
Penduduk mengisi botol satu dan dua liter dengan makanan kering seperti beras, kekacang dan bijirin, sebelum dilepaskan ke Laut Mediterranean.
Mereka berharap bekalan itu akan dihanyutkan ke pantai Gaza, memandangkan laluan bantuan kemanusiaan melalui darat disekat sepenuhnya oleh Israel.
Tindakan ini lahir daripada keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Gaza yang terus kelaparan akibat sekatan menyeluruh, manakala bantuan antarabangsa masih gagal menembusi sempadan.
Pada masa yang sama, rakyat Mesir turut menyeru negara-negara lain yang bersempadan dengan Laut Mediterranean seperti Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi menyertai usaha murni ini.
Menurut media tempatan berbahasa Arab, idea itu diinspirasikan oleh konsep “mesej dalam botol” dan menjadi tular di media sosial.
Ramai pengguna memberi sokongan dan berkongsi rakaman rakyat Mesir menyertai kempen tersebut.
Idea itu dicetuskan oleh seorang ahli akademik dan jurutera Mesir yang kini menetap di Jepun.
Beliau mencadangkan penghantaran makanan melalui laut sebagai kaedah paling praktikal memandangkan sekatan darat yang berterusan.
Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menjelaskan tong plastik berkapasiti 25 liter yang ditutup rapat boleh memuatkan enam hingga lapan kilogram makanan dan masih meninggalkan ruang udara untuk memastikan ia terapung.
Beliau turut mencadangkan botol dilepaskan sekurang-kurangnya empat kilometer dari pantai pada sudut 60 darjah ke timur laut bagi memanfaatkan arus laut.
“Arus permukaan di timur Mediterranean bergerak dari barat ke timur pada kelajuan sekitar 0.8 km/j. Ini bermakna bekas makanan boleh tiba di pantai Gaza dalam masa 72 hingga 96 jam jika dilepaskan dari kawasan seperti Damietta atau timur Port Said,” jelasnya.
Walaupun ramai menyambut baik inisiatif itu, segelintir menyatakan tindakan simbolik sebegitu seharusnya disertai dengan tekanan yang lebih bermakna, seperti menyokong badan bantuan yang dipercayai dan mendesak tindakan tegas masyarakat antarabangsa untuk membuka sempadan serta menyampaikan bantuan ke Gaza.
Ketika inisiatif ini dilancarkan, lebih 100 pertubuhan bantuan telah menyuarakan kebimbangan serius terhadap kebuluran besar-besaran di Gaza, di mana lebih 950 trak bantuan dilaporkan tersekat di sempadan Mesir-Gaza.











