ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan menahan seorang suspek pada Ahad selepas tular video menunjukkan seorang lelaki dan wanita ditembak mati kerana dipercayai berkahwin tanpa restu keluarga, dalam satu lagi kes pembunuhan atas nama maruah keluarga.
Menurut pegawai wilayah Balochistan, pasangan yang identiti mereka tidak didedahkan itu ditembak mati bulan lalu atas arahan majlis suku tempatan.
Siasatan dijalankan selepas rakaman pembunuhan tersebar luas dalam media sosial.
Ketua Menteri Balochistan, Sarfraz Bugti dalam kenyataan berkata, seorang suspek ditahan selepas lokasi dan individu dalam video dikenal pasti.
Video yang tular itu menunjukkan lokasi padang pasir dengan beberapa trak pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai milik kumpulan yang membawa pasangan terbabit ke situ.
Rakaman menunjukkan mangsa wanita diberi senaskhah al-Quran dan pasangannya diarahkan berjalan tujuh langkah bersamanya sebelum lelaki itu ditembak.
Menurut seorang pegawai polis tempatan, wanita itu tidak menangis atau merayu. Dalam bahasa Brahavi, dia berkata ‘kamu hanya dibenarkan menembak aku. Tidak lebih dari itu’.
Suspek kemudian mengacukan pistol dan melepaskan dua das tembakan dari jarak dekat, namun wanita itu masih berdiri. Selepas tembakan ketiga, dia rebah ke tanah. Beberapa tembakan lagi dilepaskan, termasuk ke arah mangsa lelaki yang terbaring berlumuran darah berhampiran.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan mendedahkan sekurang-kurangnya 405 kes pembunuhan atas nama maruah direkodkan pada 202 dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan pembunuhan biasanya dilakukan oleh ahli keluarga.
Kumpulan hak asasi mengkritik pihak berkuasa kerana gagal membanteras jenayah ini walaupun jelas melanggar undang-undang.










