Netanyahu akui serangan terhadap gereja Katolik di Gaza sebagai kesilapan - Utusan Malaysia

Netanyahu akui serangan terhadap gereja Katolik di Gaza sebagai kesilapan

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengakui serangan tentera Israel yang mengenai satu-satunya gereja Katolik di Gaza sehingga mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan beberapa lagi adalah satu kesilapan, menurut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Perkara itu dimaklumkan oleh Trump dalam satu sidang media pada Khamis, selepas mengadakan panggilan telefon dengan Netanyahu bagi membincangkan insiden berkenaan.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, menjelaskan Trump tidak menyambut baik kejadian tersebut dan telah menyatakan kebimbangannya kepada Netanyahu.

“Presiden telah menghubungi Perdana Menteri Netanyahu pagi tadi untuk membincangkan serangan yang terkena gereja di Gaza.

“Perdana Menteri bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan bahawa serangan ke atas gereja Katolik itu adalah satu kesilapan oleh pihak Israel.

“Itulah yang disampaikan beliau kepada Presiden Trump,” kata Leavitt kepada wartawan.

Dalam kenyataan berasingan, kerajaan Israel menyatakan kekesalan terhadap insiden yang berlaku, yang menurut mereka berpunca daripada tembakan peluru sesat dalam operasi ketenteraan di Gaza.

Menerusi hantaran di platform X oleh Pejabat Perdana Menteri Netanyahu, Israel menyatakan “Setiap kehilangan nyawa orang awam adalah satu tragedi. Kami turut merasai kesedihan yang dialami oleh keluarga mangsa dan seluruh komuniti keagamaan.”

Insiden tersebut mencetuskan kecaman global, memandangkan gereja yang terkena serangan itu merupakan satu-satunya gereja Katolik di wilayah Gaza dan dianggap simbol penting bagi komuniti Kristian minoriti di kawasan berkonflik itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN