NEW DELHI: Perletakan jawatan mengejut Naib Presiden India, Jagdeep Dhankhar, pada malam Isnin mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai punca sebenar di sebalik keputusan itu.
Dhankhar, yang juga Pengerusi Dewan Negara (Rajya Sabha), mengumumkan pengundurannya pada hari pertama sidang Parlimen musim monsun atas sebab masalah kesihatan.
Dhankhar, 74, mula memegang jawatan pada Ogos 2022 dan sepatutnya berkhidmat sehingga 2027.
Setakat ini, parti pemerintah Bharatiya Janata (BJP) yang mencalonkan beliau jawatan tersebut belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Pada Isnin, Dhankhar masih menjalankan tugasnya dengan mempengerusikan sidang Dewan Negara dan melafaz sumpah beberapa ahli baharu.
Beliau turut menerima notis pemecatan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Yashwant Varma, yang ditandatangani lebih 50 ahli Parlimen, susulan penemuan wang tunai dalam jumlah besar di rumah hakim tersebut awal tahun ini.
Varma menafikan sebarang salah laku sama ada oleh dirinya atau ahli keluarganya.
Mengikut jadual rasmi, Dhankhar sepatutnya melakukan lawatan ke bandar Jaipur pada Rabu.
Namun, pada malam Isnin, beliau menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Presiden India, Droupadi Murmu, dan menyatakan hasrat untuk mengutamakan kesihatan dan mematuhi nasihat perubatan.
“Menjadi satu keistimewaan dan kepuasan bagi saya menyaksikan serta terlibat dalam kemajuan ekonomi India yang luar biasa serta pembangunan pesat yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Berkhidmat dalam era transformatif bersejarah negara kita ini merupakan satu penghormatan sebenar,” kata Dhankhar dalam suratnya.
Keputusan itu mencetus gelombang reaksi dalam kalangan ahli politik dan pemerhati, termasuk mereka yang baru sahaja berkomunikasi dengan Dhankhar beberapa jam sebelum berita itu diumumkan.
Jurucakap Parti Shiv Sena (UBT), Anand Dubey mempersoalkan keadaan semasa dalam kerajaan.
“Apa sebenarnya sedang berlaku dalam kerajaan ini?.
“Keputusan ini dibuat tanpa rundingan atau perbincangan yang sewajarnya. Jika kesihatan adalah isunya, beliau boleh sahaja meletakkan jawatan beberapa hari sebelum atau selepas sidang bermula,” katanya.
Ahli Parlimen parti pembangkang utama Kongres India, Manish Tewari menyifatkan keputusan itu amat mengejutkan.
“Tiada siapa menafikan kesihatan Dhankhar perlu diberi keutamaan. Namun jelas sekali, terdapat sesuatu yang lebih besar di sebalik perletakan jawatan beliau yang tidak dijangka ini,” katanya.-AGENSI










