Monarki Britain terima RM496 juta dana kerajaan setahun, cetus perdebatan awam - Utusan Malaysia

Monarki Britain terima RM496 juta dana kerajaan setahun, cetus perdebatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Monarki Britain akan menerima dana tahunan sebanyak 86.3 juta pound (RM496 juta) daripada kerajaan, menurut laporan kewangan tahunan yang dikeluarkan oleh Rumah Diraja pada Isnin.

Dana tersebut dikenali sebagai Sovereign Grant digunakan untuk membiayai tugas rasmi keluarga diraja serta penyelenggaraan istana-istana diraja yang datang sepenuhnya daripada wang pembayar cukai Britain.

Sebagai balasan, pihak istana menyerahkan keseluruhan keuntungan daripada Crown Estate kepada kerajaan, satu susunan yang telah wujud sejak 1760.

Crown Estate merangkumi pelbagai aset mewah termasuk hartanah utama di tengah London, Litar Lumba Ascot dan dasar laut sekitar England, Wales serta Ireland Utara. Hasil daripada aset ini menyumbang ratusan juta pound setiap tahun kepada kerajaan.

Sovereign Grant berfungsi sebagai dana operasi bagi pihak Raja dan wakil-wakilnya dalam melaksanakan tugas-tugas awam bagi menampung kos perjalanan rasmi, gaji kakitangan, penyelenggaraan bangunan bersejarah serta pelbagai komitmen protokol.

Namun, dana ini tidak termasuk perbelanjaan keselamatan yang biasanya tinggi kerana melibatkan penglibatan kerap keluarga diraja dalam acara awam dan rasmi.

Laporan tahunan tersebut menyatakan bahawa ahli keluarga diraja menjalankan lebih 1,900 acara rasmi dalam dan luar negara sepanjang tahun kewangan lalu. Sementara itu, lebih 93,000 tetamu menghadiri 828 acara rasmi yang diadakan di istana-istana diraja.

Daripada jumlah keseluruhan geran tersebut, 51.8 juta pound (RM297 juta) diperuntukkan untuk operasi teras manakala 34.5 juta pound (RM198 juta) digunakan khusus bagi kerja-kerja pengubahsuaian Istana Buckingham yang sedang melalui proses pemodenan besar-besaran.

Projek ini melibatkan pembaikan sistem elektrik, saluran paip, lif serta penyediaan tandas mesra orang kurang upaya. Istana Buckingham yang merupakan simbol utama pemerintahan British dan tarikan pelancong terkemuka dijangka terus menerima pembiayaan khas ini selama beberapa tahun akan datang.

Namun begitu, tahap pembiayaan awam terhadap institusi monarki terus mencetuskan perdebatan di kalangan rakyat.

Sebuah kumpulan anti-monarki dalam reaksinya menyeru agar Sovereign Grant dimansuhkan dan semua hasil daripada Crown Estate disalurkan terus kepada rakyat Britain tanpa peruntukan khas kepada institusi diraja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN