BANGKOK: Menjelang rundingan damai antara Kemboja dengan Thailand di Putrajaya hari ini, pasukan tentera kedua-dua negara masih bertempur di kawasan sempadan.
Sekurang-kurangnya 35 orang telah terbunuh dan lebih 200,000 penduduk dipindahkan sejak Khamis, susulan pertempuran berhubung beberapa kuil purba yang menjadi rebutan antara kedua-dua negara.
Dalam usaha yang dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dijadual bertemu pada pukul 3:00 petang di Putrajaya. China juga dijangka menghantar delegasi ke pertemuan itu.
Menjelang rundingan tersebut, Thailand dan Kemboja terus saling menuduh dan berbalas serangan.
“Kami tidak percaya Kemboja bertindak dengan niat baik, berdasarkan tindakan mereka dalam menangani isu ini.
“Mereka perlu menunjukkan kesungguhan sebenar, dan kami akan menilai perkara itu dalam pertemuan nanti,” kata Phumtham kepada wartawan sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Bangkok.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, pula berkata Isnin menandakan “hari kelima Thailand menceroboh wilayah Kemboja dengan senjata berat dan pengumpulan besar tentera.”
Di bandar Surin, Thailand – sekitar 30 kilometer dari sempadan dan menjadi lokasi penempatan sementara pelarian akibat pertempuran – seorang penduduk, Lamduan Chuenjit, 58, turut menyuarakan keraguannya.
“Saya harap rundingan hari ini berjaya dan membawa kepada gencatan senjata. Tapi saya tertanya-tanya sejauh mana boleh dipercayainya Kemboja,” katanya.
Sehari sebelum rundingan, tentera Thailand mendakwa penembak tepat Kemboja berkhemah di satu daripada kuil yang menjadi rebutan, dan menuduh Phnom Penh menghantar lebih banyak tentera ke sempadan serta menyerang wilayah Thailand dengan roket.
Tentera Thailand melaporkan pertempuran masih berterusan di tujuh lokasi sepanjang sempadan luar bandar, kawasan yang terdiri daripada bukit-bukit, hutan liar, dan tanah pertanian yang ditanam dengan getah dan padi.
“Keadaan masih sangat tegang, dan terdapat petunjuk bahawa Kemboja mungkin sedang bersiap sedia untuk operasi ketenteraan besar sebelum memasuki rundingan,” menurut kenyataan tentera Thailand.










