TOKYO: Masa depan politik Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba menjadi tanda tanya besar selepas gabungan pemerintah yang diketuainya mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Dewan Tinggi, membuka ruang kepada kebangkitan parti populis berhaluan kanan.
Gabungan tradisional yang terdiri daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dan sekutunya, Komeito, hanya memperoleh kira-kira 41 kerusi, jauh lebih rendah daripada ambang kemenangan minimum 50 kerusi yang diperlukan, menurut unjuran media tempatan.
Kekalahan ini turut mencerminkan peralihan sokongan rakyat kepada parti Sanseito, sebuah parti baharu berhaluan kanan yang mengangkat slogan “Utamakan Jepun” dan menolak pengaruh globalisasi iaitu pendekatan yang mengingatkan banyak pihak kepada gaya pemerintahan Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat (AS).
Ketidakpuasan rakyat terhadap kadar inflasi yang melonjak, terutama dalam kos makanan harian seperti beras yang kini melonjak dua kali ganda, menjadi antara faktor utama penolakan terhadap parti pemerintah.
Meskipun kerajaan telah menawarkan bantuan kewangan, ia masih belum cukup meredakan tekanan kos sara hidup.
Ishiba, 68, yang baru memenangi kepimpinan LDP pada September lalu selepas mencuba sebanyak lima kali, memilih untuk bersikap berhati-hati ketika ditanya mengenai kedudukannya.
“Ini adalah situasi yang sukar. Kami terima keputusan ini dengan rendah hati dan penuh kesedaran,” katanya kepada NHK.
Ketika ditanya sama ada beliau akan meletakkan jawatan, Ishiba hanya menjawab, “Saya tidak boleh bercakap mengenainya secara tergesa-gesa.”
Beliau turut menekankan sebarang keputusan akan dibuat selepas keputusan rasmi diumumkan sepenuhnya.
Sekiranya Ishiba berundur, belum jelas siapa yang bakal mengisi kekosongan sebagai Perdana Menteri Jepun yang ke-11 daripada LDP sejak tahun 2000, lebih-lebih lagi apabila kerajaan kini memerlukan kerjasama pembangkang untuk meluluskan dasar di kedua-dua dewan Parlimen.
“Ishiba mungkin bakal digantikan, tetapi persoalannya, siapa yang mampu menyatukan parti dalam keadaan sekarang?” ujar Profesor Hidehiro Yamamoto, pakar sosiologi politik dari Universiti Tsukuba.
Selepas bertahun-tahun bergelut dengan deflasi, ekonomi keempat terbesar dunia itu kini dibebani lonjakan kos sara hidup selepas terkesan akibat krisis geopolitik global seperti pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Kekalahan LDP kali ini bukan sekadar satu kegagalan pilihan raya, tetapi mungkin menandakan perubahan besar dalam landskap politik Jepun dan mungkin juga penamat kepada karier politik Ishiba.









