Mahu sekat pegerakan rakyat Palestin, Israel curi ratusan keldai dari Gaza - Utusan Malaysia

Mahu sekat pegerakan rakyat Palestin, Israel curi ratusan keldai dari Gaza

PENDUDUK Palestin berpindah ke Khan Yunis menggunakan keldai di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel didakwa mencuri ratusan ekor keldai dari Semenanjung Gaza yang sedang dikepung dan menghantar haiwan itu ke Perancis serta Belgium kononnya atas alasan misi penyelamatan veterinar, lapor saluran berita Kan dari Israel.

Menurut laporan tersebut, tindakan itu sebenarnya adalah satu kegiatan terancang yang melibatkan penyeludupan keldai secara besar-besaran dari Gaza ke Israel dengan kerjasama beberapa pertubuhan Israel serta sokongan institusi di Eropah, terutamanya Perancis dan Belgium.

Tentera Israel dilaporkan melakukan rampasan terhadap keldai-keldai ini di kawasan Gaza yang telah mereka cerobohi, dengan alasan kononnya mahu menyelamatkan haiwan tersebut daripada penyakit dan pengabaian.

Bagaimanapun, media Israel menggambarkan tindakan itu sebagai “operasi penyelamatan veterinar,” tanpa mengendahkan hakikat keldai-keldai tersebut adalah harta milik rakyat Palestin yang bergantung sepenuhnya kepada haiwan itu untuk pengangkutan dan pergerakan, terutama ketika serangan Israel berterusan di Gaza.

Di bawah undang-undang antarabangsa, perampasan harta awam ketika konflik bersenjata diklasifikasikan sebagai jenayah perang.

Laporan Kan mendedahkan keldai-keldai yang dikumpulkan dari Gaza itu telah dibawa ke sebuah ladang di Israel bernama Starting Over Sanctuary di Moshav Harot, selatan Tel Aviv.

Ladang tersebut dikendalikan oleh Sharon Cohen, yang mempersembahkan haiwan-haiwan itu di laman webnya sebagai “mangsa trauma psikologi” dan mendakwa mereka memerlukan rawatan khas, walaupun tiada sebarang bukti pemilikan atau dokumen sah mengenai pemindahan haiwan tersebut.

Pada 18 Mei lalu, sebanyak 58 ekor keldai telah dihantar melalui Lapangan Terbang Ben Gurion ke Lapangan Terbang Liège di Belgium, sebelum dipindahkan ke pusat perlindungan haiwan di Perancis dan Belgium.

Pemindahan itu diuruskan oleh organisasi Network for Animals yang diketuai Gloria Davis dan Shannon Edwards serta syarikat kargo Israel, Orien Cargo.

Tindakan ini mengundang kecaman banyak pihak kerana dianggap sebagai sebahagian daripada usaha sistematik untuk menghapuskan jejak pemilikan dan hak rakyat Palestin terhadap harta benda mereka, termasuk binatang ternakan yang penting untuk kehidupan harian. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×