Lelaki pulangkan artifak Pompeii dicuri bapa saudara lebih 50 tahun lalu - Utusan Malaysia

Lelaki pulangkan artifak Pompeii dicuri bapa saudara lebih 50 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POMPEII: Seorang warga Britain telah memulangkan semula lima ketulan plaster yang dicuri dari tapak purba Pompeii lebih 50 tahun lalu oleh bapa saudaranya yang digelar Uncle Bob dalam satu lagi insiden pelancong mengembalikan artifak yang diambil secara haram dari lokasi arkeologi terkenal itu.

Anak saudara kepada pencuri asal, Paul, menghantar kembali artifak tersebut ke Taman Arkeologi Pompeii dari kediamannya di Bolton, England.

Batu-batu tersebut telah disimpan di loteng rumah Uncle Bob di Manchester sejak awal 1970-an.

Bersama artifak yang dipulangkan dalam sebuah kotak kayu yang dibalut rapi dengan plastik gelembung, terdapat sekeping nota ringkas bertulis, “Batu-batu ini diambil dari tapak Pompeii secara haram oleh Uncle Bob.”

Menurut gambar yang dikongsikan oleh laman rasmi Facebook Tapak Arkeologi Pompeii minggu lalu, satu nota lain turut disertakan oleh Paul yang menjelaskan latar belakang bagaimana batu-batu itu boleh berada dalam simpanan keluarganya.

“Hai, saya bercakap dengan Sophie Hay mengenai ketulan batu yang ditemui di loteng bapa saudara saya, Uncle Bob, dengan nota yang menyatakan beliau telah mencurinya dari Pompeii pada tahun 70-an. Seperti yang dijanjikan, kami telah memulangkannya semula kepada anda. Salam, Paul,” tulis nota kedua itu.

Kes ini bukanlah kali pertama pihak Pompeii menerima kembali artifak yang dicuri. Pihak Taman Arkeologi menyatakan bahawa dalam banyak kes, pelancong terdorong untuk memulangkan artifak kerana mempercayai ‘kutukan Pompeii’ iaitu kepercayaan bahawa mereka yang mencuri dari tapak itu akan mengalami nasib malang.

“Setiap beberapa ketika, kami menerima bungkusan mengandungi artifak yang dicuri dan dipulangkan.

“Ada yang mengaku menjadi mangsa ‘kutukan Pompeii’ iaitu nasib malang yang dipercayai menimpa mereka yang mengambil sesuatu dari sini, mendorong ramai untuk memulangkan semula barang yang diambil,” jelas kenyataan rasmi di Facebook.

Tahun lalu, seorang pelancong turut memulangkan batu apung dari tapak tersebut bersama surat permohonan maaf panjang, menyatakan bahawa batu tersebut ‘dikutuk’. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN