Lebih 50,000 penduduk dipindahkan akibat kebakaran hutan di Turkiye - Utusan Malaysia

Lebih 50,000 penduduk dipindahkan akibat kebakaran hutan di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Lebih 50,000 penduduk di Türkiye, kebanyakannya dari wilayah barat Izmir, dipindahkan susulan kebakaran hutan besar yang melanda beberapa kawasan, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) pada Isnin.

Kebakaran paling dahsyat dilaporkan bermula pada Ahad di kawasan berhutan Seferihisar, terletak kira-kira 50 kilometer ke barat daya bandar peranginan Izmir, dan merebak pantas akibat tiupan angin yang mencecah kelajuan sehingga 120 kilometer sejam, menurut pegawai tempatan.

“Secara keseluruhan, lebih 50,000 warga dari 41 kawasan penempatan telah dipindahkan sementara ke lokasi yang lebih selamat,” kata AFAD menerusi hantaran di platform X, sambil memaklumkan seramai 79 orang mengalami masalah kesihatan akibat terhidu asap dan faktor berkaitan, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Daripada jumlah itu, seramai 42,300 orang dipindahkan dari kawasan Seferihisar.

Rakaman televisyen menunjukkan api marak membakar kawasan hutan yang luas, dengan asap hitam tebal menjulang ke udara.

Menteri Pertanian dan Perhutanan, Ibrahim Yumakli, berkata lebih 1,000 anggota dikerah ke lokasi kejadian, melibatkan empat pesawat, 14 helikopter dan 106 jentera bomba.

AFAD turut melaporkan 3,000 penduduk dipindahkan dari kawasan Manisa, terletak 40 kilometer di utara Izmir.

Di selatan Türkiye pula, seramai 1,500 penduduk di wilayah Hatay terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas kebakaran berlaku kira-kira 10 kilometer dari bandar Antakya.

Usaha pemadaman di situ melibatkan empat helikopter, 211 jentera bomba dan 540 anggota penyelamat.

Sejak Jumaat lalu, sebanyak 263 kebakaran dilaporkan berlaku di seluruh Türkiye, dan menurut Kementerian Pertanian dan Perhutanan, 259 daripadanya berjaya dikawal, manakala empat lagi masih dalam usaha pemadaman.

Lapangan Terbang Izmir yang sebelum ini menggantung sementara semua penerbangan akibat jerebu tebal, dilaporkan telah kembali beroperasi seperti biasa manakala data daripada Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS) menunjukkan hampir 19,000 hektar tanah di Türkiye telah musnah akibat kebakaran hutan setakat tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×