WALGHA: Amerika Syarikat (AS) pada awal pagi Sabtu mengumumkan persetujuan gencatan senjata antara Israel dan kerajaan sementara Syria, ketika keganasan berdarah yang melanda wilayah Sweida sejak beberapa hari lalu masih belum reda.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, sekurang-kurangnya 638 nyawa terkorban melibatkan komuniti Druze dan suku Badwi dalam siri pertempuran sejak Ahad lalu, mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap kestabilan Syria di bawah pemerintahan pemimpin interim, Ahmed al-Sharaa.
Pengumuman gencatan senjata itu dibuat oleh Thomas Barrack, wakil khas AS ke Syria dan duta ke Turkiye, yang menyatakan rundingan berjaya dilakukan melibatkan Ahmed dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Perjanjian itu turut disokong oleh Turkiye dan Jordan.
“Kami menyeru komuniti Druze, Badwi dan Sunni agar meletakkan senjata dan membina semula identiti Syria yang aman dan bersatu,” kata Barrack di platform X.
Sebelum ini, AS turut mengumumkan Ahmed bersetuju menarik pasukan tenteranya dari Sweida sebagai langkah mengurangkan ketegangan.
Namun, pertempuran kembali tercetus pada Jumaat, menyaksikan lebih 200 pejuang suku Badwi berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata Druze di pintu masuk bandar tersebut.
Situasi di lapangan amat kritikal dengan hospital utama di Sweida penuh dengan lebih 400 mayat, manakala ruang bilik mayat melimpah hingga ke jalan raya.
Seorang doktor, Dr Omar Obeid, menyifatkan keadaan itu sebagai tidak terkawal dengan bekalan asas seperti makanan dan susu bayi hampir kehabisan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 79,000 orang dipindahkan sejak keganasan meletus.
Palang Merah Antarabangsa memberi amaran gangguan bekalan elektrik menyukarkan penyimpanan mayat dan rawatan kecemasan kepada ramai penduduk yang mengalami kecederaan.










