'Kenapa perlu usir rakyat Gaza dari tanah air mereka?'

‘Kenapa perlu usir rakyat Gaza dari tanah air mereka?’

KEMUSNAHAN di Semenanjung Gaza akibat bedilan udara tentera Israel setakat 17 Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders, mengecam cadangan Presiden Donald Trump yang mahu memindahkan penduduk Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan.

Malah beliau menyifatkannya sebagai satu bentuk pembersihan etnik dan jenayah perang.

Dalam kenyataan tegas yang dimuat naik di platform X, Sanders berkata, tindakan Trump untuk menghantar jutaan penduduk Gaza ke negara lain adalah jelas pembersihan etnik dan jenayah perang.

BERNIE SANDERS

“Beliau beritahu mahu ‘bersihkan’ Gaza dan hantar semua rakyatnya ke negara lain. Kenapa mahu usir mereka dari negara sendiri?

“Itu adalah pembersihan etnik secara terang-terangan dan jenayah perang,” katanya.

Cadangan Trump untuk mengambil alih wilayah Gaza, membangunkannya semula di bawah kendalian AS dan memindahkan penduduk Palestin ke kawasan lain yang dianggap lebih ‘selamat dan moden’ menimbulkan kemarahan antarabangsa sebelum ini.

Negara-negara Arab, Kesatuan Eropah (EU) serta pertubuhan hak asasi manusia termasuk Human Rights Watch mengecam cadangan itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa dan berpotensi diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Beberapa ahli Kongres De­mokrat lain seperti Rashida Tlaib dan Chris Van Hollen turut menyuarakan bantahan, menyifatkan idea tersebut sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’ dan berisiko mencetuskan ketidakstabilan se­rantau.

Namun begitu, respons daripada ahli politik progresif lain masih terhad, menjadikan San­ders antara suara paling lantang dan konsisten menolak cadangan Trump secara terbuka.

Pakar undang-undang antarabangsa menegaskan pemindahan paksa penduduk daripada wilayah yang diduduki melanggar Konvensyen Geneva dan boleh dianggap sebagai pembersihan etnik jika dilakukan secara sistematik.

Negara-negara seperti Mesir dan Jordan turut menolak cadangan Trump, menyatakan kebimbangan langkah itu akan menjejaskan keselamatan dan kestabilan dalaman mereka, serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan serantau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN