Jumlah korban insiden tembakan di Bangkok meningkat enam orang - Utusan Malaysia

Jumlah korban insiden tembakan di Bangkok meningkat enam orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Jumlah korban insiden tembakan rambang di Pasar Or Tor Kor berhampiran Chatuchak, Bangkok hari ini meningkat kepada enam orang.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Bang Sue, Kolonel Worapat Sukthai, kejadian berlaku pukul 12.38 tengah hari apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan dan orang awam di kawasan pasar makanan segar tersebut.

“Empat pengawal keselamatan dan seorang wanita disahkan maut di lokasi kejadian. Dua lagi wanita mengalami kecederaan,” katanya kepada media.

Suspek, yang dikenal pasti sebagai lelaki berusia 61 tahun dari daerah Khong, Nakhon Ratchasima, dilapor menembak diri sendiri selepas melakukan serangan tersebut.

Mayat suspek ditemukan di atas bangku dalam bangunan pasar, lengkap berpakaian baju-T hitam dan seluar celoreng, dengan beg galas di sisi.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek menembak mangsa pada jarak dekat sebelum berlari ke arah gerai makanan laut dan menembak seorang peniaga wanita yang merayu agar tidak dicederakan.

Polis kini menyiasat motif kejadian, termasuk kemungkinan kaitan dengan ketegangan sempadan Thailand-Kemboja yang sedang berlaku.

Pasar Or Tor Kor, yang terkenal dengan hasil pertanian berkualiti tinggi dan sering dikunjungi pelancong, telah dikosongkan serta dikawal ketat oleh pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN