TEL AVIV: Tiga anggota tentera Angkatan Pertahanan Israel (IDF) daripada Briged Infantri Nahal dibuang daripada tugas tempur dan dijatuhkan hukuman penjara selepas enggan menyertai operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza, demikian menurut kenyataan tentera Israel semalam.
Perkara itu mula dilaporkan oleh penyiar awam Kan sebelum disahkan oleh pihak IDF sendiri.
Menurut laporan, empat anggota Batalion 931 di bawah Briged Nahal telah menyatakan penolakan untuk kembali memasuki Gaza selepas beberapa pusingan pertempuran.
Tiga daripada mereka telah dihukum penjara antara tujuh hingga 12 hari, manakala seorang lagi masih belum dijatuhkan hukuman.
Difahamkan, keempat-empat tentera berkenaan memaklumkan kepada pegawai atasan mereka tidak dapat kembali menyertai pertempuran akibat mengalami krisis dalaman yang mendalam.
IDF dalam kenyataan balas mengesahkan tiga tentera tetap dari Briged Nahal itu telah menolak untuk menyertai pertempuran di Gaza, dan turut memaklumkan kesemua mereka telah menjalani sesi penilaian bersama pegawai kesihatan mental yang kemudian mengesahkan mereka layak untuk bertugas dalam operasi ketenteraan.
Namun, selepas melalui prosiding tatatertib, para tentera terbabit tetap bertegas dengan keputusan mereka untuk tidak menyertai operasi dan seterusnya dijatuhi hukuman penjara tentera.
“Kes ini ditangani dengan penuh sensitiviti dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” kata kenyataan tentera rejim itu sambil menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk keingkaran perintah, terutamanya ketika berada dalam situasi tempur, dan akan terus menegakkan disiplin serta nilai kepatuhan dalam kalangan anggota tentera.
Insiden ini berlaku di tengah-tengah tekanan dalaman yang semakin memuncak dalam kalangan tentera rejim susulan pertempuran berpanjangan dan korban nyawa yang tinggi dalam operasi ketenteraan terhadap Gaza sejak Oktober lalu. -AGENSI










