Israel, AS boikot gesaan PBB tamatkan konflik di Palestin - Utusan Malaysia

Israel, AS boikot gesaan PBB tamatkan konflik di Palestin

Seorang wanita meratapi kematian saudaranya yang menjadi mangsa pengeboman tentera Zionis berdekatan Hospital al-Shifa, Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Puluhan menteri luar negara berkumpul dalam sebuah persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menyeru masyarakat antarabangsa mengorak langkah ke arah penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin namun, Amerika Syarikat (AS) dan Israel memboikot acara tersebut.

Perhimpunan Agung PBB yang mempunyai 193 anggota memutuskan pada September tahun lalu bahawa persidangan ini akan diadakan pada 2025.

Dianjurkan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, persidangan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Jun namun terpaksa ditangguhkan susulan serangan Israel terhadap Iran.

Dalam ucapannya pada Isnin, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud menggesa semua negara menyokong matlamat persidangan untuk mewujudkan satu pelan hala tuju yang menetapkan parameter penubuhan sebuah negara Palestin sambil menjamin keselamatan Israel.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam ucapan pembukaannya menegaskan bahawa persidangan ini tidak boleh sekadar menjadi ‘latihan retorik berhasrat baik’ semata-mata.

“Ia boleh dan mesti menjadi titik perubahan dalam menamatkan pendudukan dan merealisasikan aspirasi bersama kita terhadap penyelesaian dua negara yang boleh dicapai,” katanya.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot pula menekankan perlunya satu pelan konkrit bagi membawa dunia dari pengakhiran perang di Gaza ke arah penyelesaian menyeluruh konflik Israel-Palestin.

“Penyelesaian politik dua negara sahaja yang mampu memenuhi aspirasi rakyat Israel dan Palestin untuk hidup dalam aman dan selamat. Tiada alternatif lain,” katanya.

Presiden Perancis Emmanuel Macron sebelum ini menyatakan bahawa negaranya bercadang untuk mengiktiraf negara Palestin pada perhimpunan tahunan pemimpin dunia di Perhimpunan Agung PBB yang dijadualkan pada September.

Perdana Menteri Palestin, Mohammed Mustafa, turut menggesa semua negara supaya mengiktiraf negara Palestin tanpa berlengah.

“Setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk bertindak sekarang,” tegas Mustafa pada permulaan persidangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×