TEHERAN: Pihak berkuasa Iran menyeru penduduk supaya mengehadkan penggunaan air berikutan krisis kekurangan bekalan yang semakin meruncing ketika negara itu dilanda gelombang haba yang teruk, lapor media tempatan pada Ahad.
Kekurangan air merupakan isu besar di Iran, khususnya di wilayah-wilayah gersang di bahagian selatan negara itu.
Masalah ini sering dikaitkan dengan pengurusan sumber yang lemah, eksploitasi berlebihan terhadap air bawah tanah serta kesan perubahan iklim yang semakin ketara.
Jabatan Meteorologi Kebangsaan pada Sabtu memaklumkan bahawa Iran sedang mengalami minggu paling panas tahun ini setakat ini, dengan suhu mencecah lebih 50 darjah Celsius di beberapa kawasan.
“Orang ramai harus berjimat cermat dalam penggunaan air bagi mengelakkan tekanan air rendah,” kata Pengerusi Majlis Bandaraya Tehran, Mehdi Chamran seperti dilaporkan agensi berita ISNA.
Pihak berkuasa di seluruh Iran turut mengeluarkan gesaan serupa dalam beberapa hari kebelakangan ini, meminta penduduk di beberapa wilayah supaya mengehadkan penggunaan air mereka.
Syarikat Pengurusan Air Wilayah Teheran dalam satu kenyataan menggesa penduduk untuk mengurangkan penggunaan sekurang-kurangnya sebanyak 20 peratus bagi membantu meredakan krisis tersebut.
“Takungan empangan yang membekalkan air ke Teheran kini berada pada paras terendah dalam tempoh satu abad selepas beberapa tahun mengalami penurunan kadar hujan secara berterusan,” menurut kenyataan itu.
Akhbar konservatif Javan melaporkan bahawa pihak berkuasa telah mengurangkan tekanan air di beberapa kawasan di ibu negara dalam usaha menangani krisis tersebut yang menyebabkan gangguan bekalan air antara 12 hingga 18 jam di sesetengah kawasan.










